suria

Li Yongbo Akur Kekalahan China

KUALA LUMPUR: Jurulatih pasukan badminton Piala Uber China Li Yongbo yang menerima kekalahan pasukannya dengan Korea Selatan, berjanji bahawa pasukan Tembok Besar China itu akan kembali lebih kuat terutama untuk menghadapi perlawanan Kejohanan Dunia Ogos ini dan Sukan Asia pada November.

Walaupun sedikit kecewa kerana kehilangan piala itu selepas merangkulnya 11 kali, beliau tidak menyalahkan anak buahnya atas kekalahan itu.

"Mereka bermain dengan baik tetapi tidak menonjolkan prestasi terbaik mereka. Bagaimanapun, adalah baik apabila mereka kalah kerana kami dapat memperbaiki kelemahan kami," katanya kepada pemberita.

China yang memburu kejuaraan Piala Uber untuk kali ke-12, kalah 1-3 di tangan Korea Selatan pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Putra di sini semalam.

Beregu kedua mereka, Du Jing/Yu Yang gagal meraih mata kemenangan yang amat diharapkan apabila kalah 21-19, 14-21, 19-21 kepada Lee Kyung Won/Ha Jung Eun selepas Wang Xin membuka peluang untuk China, mengalahkan Sung Ju Hyun 21-14, 16-21, 21-17.

Dalam perlawanan sebelum itu, Korea Selatan berjaya mengutip dua mata hasil kemenangan Bae Seung Hee yang membuat kejutan dengan menundukkan pemain nombor satu dunia, Wang Yihan 23-21, 21-11 manakala pasangan beregu Lee Hyo Jung/Kim Min Jung mengetepikan beregu nombor satu dunia Ma Jin/Wang Xiaoli 18-21, 21-12, 21-15.

Li berkata sebahagian besar pemain wanita pasukan itu masih muda dan tidak dapat mengawal tekanan yang kian memuncak ketika di gelanggang.

"Tetapi kami memerlukan pemain muda kerana mereka adalah sasaran utama kami untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.

Sementara itu, ketua pengurus Korea Selatan Kim Jong Soo berkata tiada rahsia dalam kemenangan pasukannya.

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Artikel Lain