suria

Korea Bertemu India Di Final

IPOH: Korea akan bertemu juara bertahan India pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini malam ini.

Korea layak ke akhir setelah mengalahkan Pakistan 4-2 dalam perlawanan peringkat pusingan semalam.

Pakistan mendahului 1-0 pada minit ke-32 melalui pukulan sudut pendek oleh Muhammad Zubair.

Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Korea terus menggandakan asakan pada babak kedua dan dapat menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-38 melalui jaringan padang Lee Nam Yong.

Pada minit ke-46, Lee sekali lagi menyempurnakan pukulan penalti untuk meletak Korea di depan dengan jaringan 2-1.

Namun Pakistan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut pendek oleh Muhammad Imran pada minit ke-57.

Perlawanan menjadi semakin panas apabila pada minit ke-66, pengadil Warren McCully menghadiahkan pukulan penalti kepada Korea yang dibantah keras oleh para pemain Pakistan.

Pengadil terpaksa melayangkan tiga kad hijau, kuning dan merah berturut-turut kepada Muhammad Imran.

Akibatnya para pemain Pakistan enggan meneruskan permainan, tetapi hasil perbincangan pengurus Pakistan, Khajawa Junaid dengan pihak jawatankuasa teknikal kejohanan, permainan diteruskan.

Gol kemenangan Korea dihasilkan menerusi pukulan penalti Nam Hyun Woo pada minit ke-59.

Dalam satu lagi perlawanan, India menewaskan Mesir 7-1.

India mendahului Mesir 1-0 pada separuh masa pertama melalui Dhananjay Mahadik yang menyumbat masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Pada minit ke-40, Mahadik sekali lagi menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Mesir Mohamamd Mabrouk, dan tiga minit kemudian Mahadik menyempurnakan pukulan sudut pendek untuk meletakkan India di depan dengan jaringan 3-0

Seminit kemudian, giliran Rajpal Singh menjaringkan gol ke-4 dan diikuti jaringan Rupinder Pal Singh pada minit ke-48 untuk menjadikan kedudukan 5-0 buat India.

India terus berada di depan dengan jaringan 6-0 selepas Tushar Khadnkhar menolak masuk bola pada minit ke-49 selepas melakukan serangan pantas ke kubu Mesir.

Ketinggalan 0-6, Mesir terus menggasak kubu India dan memperolehi gol sagu hati pada minit ke-68 melalui Ahmad Abd El Hakim.

Tetapi India terus berpesta gol apabila Sarvanjit Singh menyumbat gol ketujuh India pada minit ke-70.

Sementara itu Australia menewaskan China 4-0 untuk bertemu Malaysia bagi menentukan tempat ketiga dan keempat petang ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Webber Takluk Monaco

Artikel Berikut

Artikel Lain