suria

Sabah Terus Kejar Felda United Di Tangga Teratas

KUALA LUMPUR: Sabah terus mengejar pendahulu Liga Perdana, Felda United apabila menewaskan Harimau Muda 1-0 di Stadium Hang Tuah Melaka malam ini.

Gol tunggal pelawat itu disumbangkan oleh Mohd Fariz Ideris pada minit ke-51 untuk membolehkan Sabah mengutip tiga mata penuh sekaligus mengumpul 32 mata, ketinggalan tiga mata berbanding Felda United.

Kedudukan tempat ketiga juga kekal menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menjadikan Majlis Perbandaran (MP) Muar sebagai mangsa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad bimbingan jurulatih Zulhamizan Zakaria itu membelasah pelawat dengan jaringan 8-0 untuk mengumpul 30 mata secara keseluruhan, sama dengan Selangor PKNS di tempat keempat.

Selangor PKNS mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Sarawak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

PDRM pula menewaskan Melaka 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi setelah dikejutkan dengan gol awal pelawat melalui Nor Irwan Mohd Shukri pada minit ke-22.

Namun tuan rumah bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua melalui Eddy Gapil pada minit ke-59 dan Raziqe Md Omar pada minit ke-87.

Shahzan Muda pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila terikat 1-1 dengan Pos Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan melalui Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-32 namun berjaya disamakan oleh Mohd Hanifuddin Abd Rahman pada minit ke-41 untuk kedua-dua pasukan sekadar mengutip satu mata.

Sementara itu perlawanan tunggal Liga Super menyaksikan Perak menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Perak di Ipoh.

Satu gol pada setiap babak melalui Wan Azwarie Wan Yusof pada minit ke-29 dan Mohd Razali Umar Kandasamy pada minit ke-71 membolehkan skuad 'Seladang' itu mengutip tiga mata penuh. - BERNAMA

Artikel Lain