suria

Korea Temu China Buat Kali Keenam

KUALA LUMPUR: Korea Selatan akan berdepan dengan juara bertahan China untuk kali keenam pada perlawanan akhir Piala Uber di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Sabtu ini.

Korea Selatan gagal menjulang piala tersebut pada lima pertemuan akhir sebelum ini pada 1988, 1990, 1992, 2002 dan 2004. Walaupun Korea Selatan bersemangat untuk memecah kebuntuan itu kali ini namum pengurus pasukannya Kim Jong Soo mengakui sukar untuk menggugat pasukan dari negara Tembok Besar itu.

"Jika pemain perseorangan boleh menampilkan persembahan di luar dugaan maka kita mempunyai peluang," katanya kepada pemberita selepas pasukan itu menewaskan Jepun 3-1 pada saingan separuh akhir di sini hari ini.

Korea Selatan bagaimanapun menghadapi masalah kecergasan apabila pemain perseorangan utama Bae Seung Hee deman sejak tiba di sini minggu lepas manakala pemain perseorangan kedua Bae Youn Joo menghadapi kecederaan bahu.

Sementara itu, China melangkah ke perlawanan akhir buat kali ke-13 apabila dengan mudah menewaskan Indonesia 3-0 pada saingan separuh akhir.

Jurulatih China Li Yongbo berkata Korea Selatan adalah musuh lama yang pasti akan memberi tentangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain