suria

Kejohanan Trek Dan Padang MSSM Bermula Minggu Depan

JOHOR BAHARU: Belum pun pingat pertama dimenangi pada edisi ke-52 Kejohanan Trek dan Padang Sekolah-sekolah Malaysia di sini minggu depan, penganjur telah pun mencapai kejayaan awal.

Buat julung kali dalam sejarah kejohanan berkenaan, satu program publisiti yang terperinci diatur bagi mempromosikan kejohanan empat hari itu di Stadium Larkin di sini dari 18-21 Mei.

Ini termasuk pertunjukan bunga api pada malam perasmian 18 Mei ini yang akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, sepanduk dan kain rentang turut menghiasi beberapa lokasi strategik di bandar raya ini sejak beberapa hari lepas bagi mempromosikan kejohanan itu.

Tidak lupa juga laman web www.johordt.gov.my/mssm 2010 yang dibangunkan dan beroperasi sejak bulan lepas sebagai sebahagian daripada usaha Majlis Sukan Sekolah-sekolah Johor untuk memaklumkan perkembangan terkini kejohanan itu.

Dalam taklimat media di sini hari ini, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor Markom Giran berkata meskipun peruntukan yang biasanya berjumlah RM1 juta dikurangkan kepada hanya RM750,000 kali ini, penganjur berazam untuk menganjurkan satu kejohanan yang berjaya.

"Kami mahu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai Kejohanan Trek dan Padang Sekolah-sekolah Malaysia ini.

"Selama ini pelajar dan guru datang untuk menyaksikan pasukan mereka bertanding. Tetapi sekarang kami mahu orang ramai turut datang dan memberi sokongan pada kejohanan itu," kata Markom.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain