suria

KBS Umum Pemenang Anugerah Belia 2010

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan tujuh pemenang bagi Anugerah Belia Negara 2010 dan tiga pemenang bagi Anugerah Perdana Pertubuhan Belia sempena sambutan Hari Belia tahun ini.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kesemua pemenang dipilih daripada 74 pencalonan individu dan 15 pencalonan persatuan.

Beliau berkata hadiah kepada para pemenang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pelancaran Hari Belia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Sabtu ini.

Katanya keputusan pemenang diumumkan lebih awal berikutan corak penganjuran Hari Belia tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada aktiviti yang diadakan di luar dewan.

Sambutan Hari Belia kali ini merupakan yang terbesar dan paling meriah pernah diadakan melibatkan 88 acara, karnival dan ekspo yang bermula esok sehingga Ahad.

Bagi kategori Tokoh Jasa Belia Lelaki, ia dimenangi oleh bekas Presiden Majlis Belia Negara, Datuk Suhaimi Ibrahim manakala Tokoh Jasa Belia Wanita dimenangi Rozana Kamarulzaman dari Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) kebangsaan.

Kategori Kesukarelaan dimenangi Otmah Ahmad dari Persatuan Asrama Belia Malaysia, manakala Kategori Kepimpinan dimenangi Irmohizam Ibrahim dari Persekutuan Pengakap Malaysia, dan Mohd Kama Kaharmuzakir Kamarudin dari Gerakan Belia 4B cawangan Chembong Negeri Sembilan pula memenangi kategori Keusahawanan.

Ramadan Mohd Taf dari Persatuan Belia Nara, Pedas Negeri Sembilan pula dipilih bagi kategori Wira Tani, manakala Zahra Maoumah Abdul Halim dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam dipilih bagi kategori Daya Juang Malaysia Boleh, dan masing-masing akan menerima RM7,000, sijil penghargaan serta piala iringan.

Sementara bagi Johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia diraih Persatuan Belia MAYC Teluk Ketapang Kuala Nerus, Terengganu yang akan menerima RM10,000, sijil penghargaan dan piala iringan, manakala Naib Johan dimenangi Persatuan Belia Felda Chini 3, Pekan Pahang, dan Pertubuhan Belia Jati Murni Jaya Kulai, Johor di tempat ketiga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain