suria

Persembahan Skuad Negara Kurang Memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Walaupun turun buat pertama kalinya pada kejohanan Piala Thomas peringkat terakhir Kumpulan B, hari ini, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan mata pertama buat negara selepas menundukkan Kenichi Tago dari Jepun dengan mudah.

Sorakan penonton yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil ternyata membakar semangat Chong Wei apabila dia hanya mengambil masa selama 37 minit untuk mencatat kemenangan 21-12, 21-13.

Aksi sebentar tadi sekali lagi mempertemukan Chong Wei dengan Tago yang kali terakhir ditewaskannya pada Kejohanan All England, Mac lalu.

Di sebalik kemenangan itu, Chong Wei mengakui dia belum berada pada tahap terbaik pada perlawanan pertama.

"Perlawanan pertama saya tidak begitu baik dan sedikit tertekan. Namun saya lega kerana dapat bermain. Apapun, pasukan sudah bermain dengan baik. Saya sudah berjaya mendapat feeling untuk kejohanan ini," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Pemain kelahiran Pulau Mutiara itu turut menyifatkan pertemuan dengan Tago kali ini tiada jauh bezanya. Baginya corak permainan Tago sama seperti pertemuan terdahulu mereka di All England.

Mata kedua negara turut diperoleh menerusi gandingan mantap Koo Kean Keat/ Tan Boon Heong yang menewaskan Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto 21-13,21-17.

Mereka hanya mengambil masa selama 27 minit untuk menundukkan lawan dari negara matahari terbit. Kedua-duanya mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan pertama yang dianggap sebagai pemanas badan sebelum saingan suku akhir esok.

Malangnya, pemain perseorangan pilihan kedua negara, Woon Choong Han gagal menyekat kemaraan Sho Sasaki apabila tewas 17-21, 18-21. Perlawanan selama 43 minit itu menyaksikan Chong Han cuba memberi tentangan sengit kepada lawan tetapi gagal.

Gandingan beregu pilihan kedua negara, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif tampak tidak menjadi apabila tunduk 15-21,12-21 kepada Kenichi Hayakawa/Kenta Kazuno.

Fairuzizuan dilihat lebih banyak membiarkan emosi mengawal permainannya dan menyebabkan dia gagal mengikut strategi yang dirancang.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki pilihan ketiga negara, Mohd Hafiz Hashim berjaya mengheret perlawanan ke set ketiga apabila bangkit di set kedua.

Namun, dia gagal mengekalkan aksi konsisten pada set ketiga apabila tewas 10-21,21-14,18-21.

Aksi skuad Piala Uber pada perlawanan peringkat kumpulan terakhir tidak begitu memberangsang apabila Malaysia tewas 0-5 kepada China sebentar tadi.

Turun buat pertama kalinya dalam kejohanan ini, pemain perseorangan wanita pilihan pertama negara, Sanatasah Saniru kelihatan gugup dan sering melakukan banyak kesilapan dengan memberi mata mudah kepada lawan.

Sanatasah tewas 11-21, 8-21 kepada jaguh nombor satu dunia, Yihan Wang.

Menurut Sanatasah, konsentrasinya sedikit terganggu kerana teragak-agak untuk melakukan hantaran.

"Saya hanya melakukan apa saja yang terbaik. Ini adalah pertemuan pertama saya menentang Yihan. Sudah semestinya saya tertekan," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Pemain perseorangan kedua negara, Tee Yee Jing menambah kekecewaan buat kem negara apabila kecundang di tangan Xin Wang dengan catatan 12-21, 5-21.

Sonia Cheah Su Ya juga gagal mengulangi persembahan terbaiknya semalam apabila tewas 15-21, 13-21 di tangan Yanjiao Jiang.

Pada perlawanan berasingan, beregu pilihan pertama negara, Goh Liu Ying/Ng Hui Ling tewas 8-21,10-21 kepada Jin Ma/Xiaoli Wang.

Beregu pilihan kedua negara, Woon Khee Wei/ Vivian Hoo Kah Mun gagal menyekat kemaraan Jing Du/Yang Yu apabila tewas 21-9 21-9.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain