suria

Permainan Hambar Mohd Fairuzizuan/Mohd Zakry Memalukan, Kata Rexy

KUALA LUMPUR: Kekalahan mudah pasangan kedua Malaysia, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif kepada beregu Jepun serta reaksi Mohd Fairuzizuan kepada ejekan penonton, memalukan pasukan dan negara, kata ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.

Rexy berkata permainan pasangan tersebut serba tidak menjadi hari ini terutama Mohd Fairuzizuan yang terikut-ikut dengan emosinya.

"Sebagai jurulatih, kekalahan mereka memalukan. Bukan sahaja dari segi permainan tetapi juga reaksi balas Mohd Fairuzizuan terhadap ejekan penonton.

"Terutama bila perlawanan ini turut ditonton oleh penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor. Saya minta maaf kepada Datin Seri Rosmah," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengenai punca sebenar kekalahan pasangan anak didiknya itu, Rexy berkata:" Mohd Fairuzizuan mahu tunjuk bagus tetapi mengikut emosinya. Ini mengakibatkan pergerakannya dengan Mohd Zakry tidak lancar dan peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh lawan mereka," katanya.

Mohd Fairuzizuan/Mohd Zakry yang menduduki ranking ke-22 dunia tewas mudah 15-21, 12-21 dalam tempoh 27 minit kepada beregu Jepun itu yang berada di ranking ke-27 dunia.

Sebaik tamat perlawanan, hampir 1000 penonton di Stadium Putra mengejek pasangan tersebut menyebabkan Mohd Fairuzizuan membalasnya.

Rexy bagaimanapun bersikap terbuka kepada reaksi penonton yang mengejek gandingan tersebut.

"Itu menjadi hak penonton. Bila menang, mereka bersorak, bila kalah pun, mereka bersorak juga," katanya.

Mengenai tindakan balas Mohd Fairuzizuan itu, Rexy berkata pemain tersebut bakal menerima tindakan disiplin, kemungkinan direhatkan beberapa kejohanan.

Mengenai peluang Malaysia yang telahpun melangkah ke suku akhir, Rexy berkata beliau dan jurulatih yang lain akan berbincang sama ada masih menurunkan gandingan Mohd Fairuzizuan/Mohd Zakry, mencuba gandingan ketiga negara, Hoon Thien How/Ong Soon Hock atau mencuba memecahkan kedua-dua pasangan tersebut.

Sementara itu, Fairuzizuan yang kelihatan gagal mengawal emosinya dengan menangis pada sidang media selepas perlawanan berkata beliau meminta maaf kerana membalas kembali isyarat lucah yang ditunjukkan penonton.

"Saya hanya membalas balik isyarat lucah yang ditunjukkan penonton," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain