suria

Piala Uber: Malaysia Atasi Amerika, Kini Fokus China

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan sentuhan ajaib apabila berdepan dengan juara bertahan China pada perlawanan akhir kumpulan A Kejohanan Piala Uber di Stadium Putra di sini esok.

Walaupun menepati kemenangan 5-0 ke atas Amerika Syarikat malam ini, namun matlamat ke suku akhir bergantung kepada kemampuan sebenar pemain dalam perlawanan menentang China.

Ketua pasukan negara Wong Mew Choo berkata walaupun Malaysia beraksi di tempat sendiri tetapi ia tidak memberi kelebihan memandangkan China tidak boleh dipandang ringan.

"Kami mengharapkan sentuhan ajaib," katanya kepada pemberita selepas perlawanan mengatasi Rena Wang dari Amerika Syarikat 21-7, 21-10 hari ini.

Selain Mew Choo, pemain negara lain tidak menghadapi masalah untuk memungut mata termasuk pemain junior Tee Jing Yi dan Sonia Cheah.

Jing Yi dan Sonia hanya diserapkan ke dalam pasukan seminggu sebelum kejohanan bermula, menggantikan Lydia Cheah dan Julia Wong yang mengalami kecederaan.

Jing Yi berkata perasaan gementarnya beransur hilang apabila perlawanan bermula dan kini beliau berasa lebih yakin untuk bertemu China.

"Perlawanan esok saya dah tak takut. Kita 'underdog' jadi main saja untuk dapatkan sebanyak mata yang boleh," katanya yang dijangka bertemu perseorangan nombor dua dunia China, Wang Xin.

Dalam perkembangan lain, pemain nombor satu dunia Wang Yihan dari China berkata beliau akan mencuba menebus kekalahan kepada Mew Choo pada Terbuka China tahun lepas.

Sementara itu, India, yang pertama kali layak ke pusingan akhir Piala Uber, berjaya mengalahkan Afrika Selatan 5-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan D.

India akan melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan menentang Korea Selatan esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain