suria

Malaysia, Jepun Ke Suku Akhir Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun diberi tempat ke suku akhir Kejohanan Piala Thomas dari kumpulan B oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan kegagalan Nigeria hadir pada perlawanan pembukaan menentang pasukan tuan rumah semalam.

Malaysia diberi kemenangan percuma 5-0 ke atas Nigeria manakala Jepun turut diberi keputusan sama walaupun mereka akan menentang Nigeria petang ini.

Pasukan Nigeria hanya tiba di sini malam tadi selepas penerbangan awal mereka dibatalkan, menyebabkan mereka terlepas perlawanan pembukaan menentang Malaysia..

"Keputusan perlawanan Jepun-Nigeria tidak akan diambil kira untuk kedudukan akhir dalam Kumpulan B tetapi setiap perlawanan individu akan dikira untuk menentukan ranking dunia pemain.

"Keputusan ini juga digunakan untuk perlawanan Malaysia-Nigeria," kata Ketua Pegawai Operasi BWF Thomas Lund kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa pengurusan yang terdiri daripada Lund, pengadil kejohanan Mojmir Hnilica dan Paisan Rangsikitpho.

Lund menjelaskan walaupun Nigeria berjaya mendapat mata menentang Jepun, namum keputusan 5-0 masih dikekalkan.

Undian baru untuk pusingan suku akhir kalah mati akan diadakan malam esok selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain