suria

Kashyap Bertarung Tiga Set Dengan Taufik

KUALA LUMPUR: Kashyap Parupalli dari India memaksa Taufik Hidayat dari Indonesia bermain tiga set sebelum jaguh perseorangan India itu tewas di set kedua dan set penentuan.

Kashyap tewas 21-14, 19-21, 18-21.

Beliau menyalahkan hembusan angin di Stadium Putra, Bukit Jalil yang menyebabkan beliau tewas kepada Taufik, pemain nombor lima dunia.

"Saya lebih cergas daripada Taufik. Saya mudah menewaskannya 21-14 di set pertama kerana gelanggang sesuai dengan saya, tetapi apabila saya beralih gelanggang, hembusan angin menjejaskan fokus saya," kata pemain berusia 23 tahun itu kepada pemberita.

"Saya sepatutnya lebih banyak mendesaknya (Taufik) ke belakang kerana dia sering ke depan berhampiran jaring pada set kedua dan ketiga, jika tidak saya pasti menewaskannya hari ini," katanya.

Pelajar Universiti Osmania di Hyderabad itu bagaimanapun berkata beliau tidak kecewa dengan kekalahan tersebut.

"Selepas kejohanan ini, saya mahu bermain sepenuh masa untuk India dan mungkin tidak meneruskan pengajian buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel di negara saya," katanya yang telah mewakili India selama dua tahun.

India sebelum ini pernah melahirkan jaguh perseorangan iaitu Prakash Padukone yang memenangi kejohanan All England pada 80-an. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain