suria

Piala Uber: Indonesia Menyerlah, Jepun Berusaha Keras

KUALA LUMPUR: Indonesia memulakan kempen pertandingan Piala Uber memberangsangkan hari ini dengan menewaskan Australia 5-0 dalam perlawanan peringkat Kumpulan B di Stadium Putra Bukit Jalil.

Pemain perseorangan wanita ke-19 dunia, Maria Febe Kusumastuti dari Indonesia jelas sukar ditandingi lawannya Leanne Choo (ranking dunia ke-87) dari Australia apabila memenangi perlawanan 21-13, 21-5 dalam tempoh hanya 26 minit.

Kemenangan Maria merangsang semangat pemain beregu pasukannya, Greysia Polii/Nitya Krishinda Maheswari yang menewaskan pasangan Australia Renuga Veeran/He Tian Tiang 21-16, 21-11.

Greysia berkata semasa set pertama permainan, permainan Nitya agak goyah menyebabkan pasangan Australia mendahului mereka dalam kutipan mata pada awal permainan.

"Kerana itu lawan boleh hampiri kami hingga ke mata ke-16. Tetapi pada permainan kedua kami lebih yakin dan bermain lebih baik," katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Indonesia terus melakar kemenangan dengan kedua-dua pemain perseorangan kedua, Adriyanti Firdasari dan Maria Kristin Yulianti serta beregu Shendy Puspa Irawati/Liyana Natsir menewaskan lawan masing-masing dalam permainan straight set.

Dalam persaingan Kumpulan C, Jepun terpaksa bekerja keras sebelam berjaya menewaskan Jerman 4-1.

Dalam perlawanan perseorangan pertama, pemain rangking ke-13 dunia, Eriko Hirose, terpaksa akur dengan kehebatan Juliane Schenk dari Jerman yang menduduki rangking ke-11 dunia apabila tewas 15-21, 12-21.

Schenk, yang berpasangan dengan Birgit Overzier, untuk perlawanan beregu berjaya mengheret pasangan Jepun Satoko Suetsuna/Miyuki Maeda untuk perlawanan set penentu tetapi tewas 17-21, 21-18, 11-21.

Ketua Jurulatih Jepun Park Joo-bong bagaimanapun tidak gembira dengan persembahan awal longlai pasukannya dan menyalahkan 'keadaan berangin" di stadium.

"Kami hanya mempunyai sehari untuk berlatih di stadium dan pada ketika itu, keadaan tidak begitu berangin seperti hari ini. Namun, kami akan mencari langkah bagi mengatasi masalah ini," katanya selepas tamat perlawanan.

Indonesia akan bertemu Afrika Selatan esok manakala Jepun berhadapan dengan Russia pada Selasa dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain