suria

Pembukaan Mudah bagi China, Indonesia

KUALA LUMPUR: China memulakan kempen mempertahankan Kejohanan Badminton Piala Thomas apabila membelasah Peru 5-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini hari ini.

China, selaku pilihan utama, mengambil masa 108 minit untuk mengatasi Peru, pasukan pilihan ke-10 itu, dan akan mengakhiri saingan kumpulan dengan menentang pilihan kelima Korea Selatan, Selasa ini.

Diterajui oleh juara tiga kali dunia, Lin Dan, yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing, pasukan China terlalu handal bagi lawannya.

Lin Dan, pemain nombor dua dunia, mengumpul mata pertama dengan menewaskan Antonio De Vinatae 21-4, 21-6, pemain ke-153 dunia, manakala diikuti Chen Jin menundukkan Andres Corpancho 21-9, 21-8.

Mata kemenangan China diperolehi oleh pemain perseorangan ketiga Chen Long dengan menumpaskan Rodrigo Pacheco 21-11, 21-8.

Dalam acara beregu pula, gandingan kelima dunia, Guo Zhandong/Chen Xu menewaskan Antonio De Vinatae/Martin Del Valle 21-6, 21-6 dan beregu Biao Chai/Zhang Nan menutup tirai pungutan mata dengan melepasi Rodrigo Pacheco/Andres Corpancho 21-12, 21-8.

Ketua jurulatih Peru, Crespo Jose Antonio berkata China merupakan pasukan kuat dan mereka banyak belajar daripada setiap perlawanan.

"Kami masih dalam proses belajar dan beraksi dalam kejohanan ini banyak memberi pengalaman kepada kami," katanya kepada pemberita di sini.

Peru akan menentang Korea Selatan esok.

Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, pasukan pilihan kedua, Indonesia, menewaskan Australia 5-0.

Bekas pemenang emas Sukan Olimpik Athens, Taufik Hidayat, mengumpul mata pertama dengan menewaskan Jeff Tho 21-12, 21-12.

Beregu nombor tiga dunia, Markis Kido/Hendra Setiawan menjadi keputusan 2-0 apabila mengenepikan Ross Smith/Glen Warfe 21-14, 24-22 manakala mata kemenangan Indonesia dicapai Simon Santoso dengan menumpaskan Chad Whitehed 21-13, 21-4.

Gandingan baru Nova Widianto/Muhammad Ahsan menyumbang mata keempat Indonesia apabila mengatasi Raj Veeran/Jeff Tho 21-13, 21-6 dan pemain muda Dyonisius Hayom Rumbaka membawa mata terakhir dengan menewaskan Stuart Gomez 21-12, 21-10.

Artikel Sebelum

Artikel Lain