suria

Malaysia Ada Peluang Rampas Kembali Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pasukan badminton lelaki kebangsaan dijangka terpaksa mengharungi laluan penuh mencabar dalam menggalas misi mereka bagi merampas kembali Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 1992 apabila kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber membuka tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil, esok.

Diketuai Datuk Lee Chong Wei, pemain perseorangan lain yang menganggotai pasukan Malaysia ialah Wong Choong Hann, Muhd Hafiz Hashim dan Tan Chun Seang, manakala pemain beregu pula terdiri daripada Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari dan Hoon Tien How/Ong Soon Hock.

Walaupun dilanda pelbagai insiden yang boleh menjejaskan semangat pemain seperti pemecatan setiausaha agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ganga Rao, hutang insentif sebanyak RM2 juta dan masalah hubungan dalam kalangan pemain beregu, pasukan Malaysia tetap mempamerkan semangat patriotik dan perpaduan yang tinggi, terutama semasa mereka menjalani kursus pembinaan pasukan di Port Dickson tig minggu lepas.

Bagaimanapun, kes Ganga kini sudah selesai, kerajaan pula telah melunaskan bayaran insentif dan pasangan beregu, khususnya Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan, yang dikatakan terbabit dalam perbalahan, berjanji akan bekerjasama di dalam dan di luar gelanggang.

Seminggu sebelum bermulanya kejohanan ini, Rashid Didek, ketua jurulatih pemain perseorangan Malaysia, dikuarantin di hospital kerana didapati positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Dua hari selepas itu, abangnya iaitu Misbun, yang juga jurulatih perseorangan lelaki, turut dikuarantin apabila tiga anaknya dimasukkan ke hospital kerana demam teruk.

Syukurlah, Rashid dan Misbun kini tidak lagi dikenakan kuarantin dan kembali bertugas mulai hari ini.

Berdasarkan senarai pemain yang menganggotai pasukan lelaki, tugas untuk merintis laluan kemenangan bagi Malaysia tidak syak lagi terletak di bahu pemain perseorangan Nombor 1 dunia Chong Wei, yang begitu konsisten persembahannya selepas menjuarai tiga kejohanan sejak Januari lepas.

Chong Wei membuka tirai pencapaiannya tahun ini dengan menjuarai kejohanan Super Series Terbuka Malaysia pada Januari dan selepas itu dinobatkan sebagai juara Super Series Terbuka Korea pada bulan yang sama serta muncul sebagai juara perseorangan All England pada Mac.

Choong Hann dan Hafiz tidak mencapai kejayaan besar sejak tahun lepas.

Bagi pemain beregu pula, pasangan Koo/Tan menjuarai kejohanan Super Series Terbuka Malaysia, manakala Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan terus kekal sebagai pasangan lincah walaupun tidak memenangi sebarang kejohanan.

Malaysia, yang menjadi pasukan pilihan ketiga bagi kejohanan Piala Thomas selepas Indonesia dan China, diundi bermain dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan keenam iaitu Jepun dan pasukan yang tidak diberi banyak harapan, Nigeria.

Malaysia dijangka mencapai kemenangan mudah apabila berdepan dengan Nigeria tetapi menerima tentangan hebat ketika bertemu Jepun.

Chong Wei sendiri perlu lebih berwaspada apabila menentang bintang baru Jepun Kenichi Tago, yang telah ditewaskannya pada perlawanan akhir kejohanan All England Mac lepas.

Kumpulan A dianggotai China, Korea Selatan dan Peru, Kumpulan C pula membariskan Denmark, Jerman dan Poland, manakala Indonesia, India dan Australia bermain dalam Kumpulan D.

Dua pasukan dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Presiden BAM Datuk Nadzmi Salleh meramalkan hanya lima pasukan iaitu China, Indonesia, Korea Selatan, Denmark dan Malaysia berpeluang menjuarai kejohanan ini.

Buat julung kalinya, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengubah format kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber dengan memperkenalkan pengundian bagi perlawanan peringkat suku akhir sebagai langkah menghalang pasukan memilih lawan melalui pertemuan bersilang.

Bekas pemain beregu handalan Malaysia Jalani Sidek, yang berpasangan dengan adiknya Razif ketika menjuarai Piala Thoms pada 1992, berkata mengikut congak, Malaysia akan mara dengan mudah ke peringkat suku akhir.

"Tapi, pengundian bagi peringkat kalah mati suku akhir sangat penting bagi setiap pasukan kerana mereka tidak lagi boleh memilih pasukan penentang.

"Sekiranya Malaysia bertemu sama ada Denmark atau Indonesia di peringkat suku akhir, saya percaya kita boleh mencapai sasaran memasuki peringkat separuh akhir," katanya. Sementara itu, pasukan wanita Malaysia mungkin memerlukan senjata ajaib bagi memenuhi impian mereka untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Uber. Walaupun mereka memenangi pingat emas pada Sukan SEA Laos Disember tahun lepas, namun tanpa penyertaan dua pemain berpengalaman iaitu Lydia Cheah dan Julia Wong kerana kecederaan, sasaran pasukan itu untuk menjejakkan kaki di peringkat separuh tidak mudah untuk dicapai.

Tempat Lydia diambil alih oleh Sanatasah Saniru, manakala Sonia Cheah mengisi tempat Julia.

Pemain perseorangan lain ialah Wong Mew Choo dan Tee Jing Yee, manakala pasangan beregu pula ialah Chin Ee Hui/Wong Pei Tty, Woon Khee Wei/Vivian Hoo Kah Mun dan Goh Lui Ying/Ng Hui Ling.

Malaysia, yang diletakkan sebagai pilihan keenam pada kejohanan Piala Uber, akan bermain dalam Kumpulan A bersama pasukan pilihan pertama China dan Amerika (pilihan ke-11).

Kumpulan B membariskan Indonesia, Denmark dan Australia, Kumpulan C dianggotai Jepun, Rusia dan Jerman, manakala Korea Selatan, India dan Afrika Selatan bermain dalam Kumpulan D.

China diramalkan menjuarai Piala Uber bagi kali ke-12, setelah memenanginya enam kali berturut-turut sejak 1998. Negara itu juga menjuarai kejohanan Piala Uber dari 1984 hingga 1992. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Jadi Duta Samsung

Artikel Lain