suria

United Rancang Jelajah Amerika Utara

LONDON: Meskipun kempen Liga Perdana Inggeris musim ini akan melabuhkan tirainya Ahad ini, Manchester United sudahpun mengumumkan rancangan untuk mengadakan siri jelajah ke Amerika Utara dalam tempoh terdekat selepas aksi Piala Dunia.

Semalam, kelab gergasi England itu mengumumkan mereka ingin beraksi satu perlawanan di Kanada dan tiga lagi di Amerika Syarikat.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung lima hari selepas aksi akhir Piala Dunia walaupun mana-mana pemain yang berada di Afrika Selatan berkemungkinan besar tidak dimasukkan dalam senarai jelajah tersebut.

Red Devils akan memulakan siri jelajah menentang naib juara Liga Perdana Scotland, Celtic di Toronto (16 Julai) sebelum bertemu Philadelphia Union (21 Julai), Kansas City Wizards (25 Julai) dan Major League Soccer All-Stars di Houston (28 Julai).

Kelab itu juga akan berkunjung ke Guadalajara (30 Julai) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk mendapatkan khidmat penyerang prolifik Mexico, Javier Hernandez.

Beberapa kelab EPL sering kali mengadakan perlawanan persahabatan ke Amerika Utara tetapi United kali terakhir berkunjung ke situ pada 2004 dan sering menjelajah ke Asia, negara yang memiliki ramai peminat United.

Tahun lalu, United membatalkan kunjungan ke Indonesia selepas hotel yang menjadi tempat penginapan semua pemain di Jakarta terkena serangan bom.

"Sungguh hebat untuk kembali beraksi di Amerika Utara, terutamanya selepas tamat saingan Piala Dunia apabila minat dalam bola sepak berada pada tahap kemuncak," kata Pengurus Sir Alex Ferguson.

Artikel Berikut

Artikel Lain