suria

Tiket Separuh Akhir Dan Akhir Sudah Hampir Habis Dijual

KUALA LUMPUR: Tiket-tiket untuk perlawanan separuh akhir dan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Piala Uber sudah hampir habis dijual, kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

"Sambutannya begitu hangat. Tiket-tiket untuk perlawanan separuh akhir dan akhir sudah hampir habis dijual. Sementara tiket-tiket untuk peringkat awal masih ada.

"Sekiranya pasukan Malaysia berjaya sampai ke perlawanan separuh akhir atau akhir, sudah tentunya ia akan mendapat sambutan yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pengumuman pelantikan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai duta produk Samsung, hari ini.

Menurut beliau sebagai memudahkan peminat-peminat badminton untuk mendapatkan tiket, kaunter-kaunter tiket di Stadium Putra, Bukit Jalil akan mula beroperasi esok.

"Orang ramai masih boleh mendapatkan tiket masing-masing melalui internet seperti pada peringkat awal penjualannya," katanya.

Pembelian melalui internet boleh dibuat di laman web, www.ticketpro.com.my.

Menyentuh mengenai tindakan yang akan diambil oleh BAM bagi mengawal wabak influenza H1N1, Mohd Nadzmi berkata pihak Kementerian Kesihatan akan memasang dua terminal pengimbas di pintu masuk stadium.

"Sekiranya ada di antara penonton yang dikesan mempunyai demam yang tinggi, dia tidak akan dibenarkan masuk ke dalam stadium," katanya.

Sebelum ini katanya, pihak Institut Sukan Negara (ISN) sudah memasang beberapa alat penapis udara bagi mengelak penyebaran wabak Influenza H1N1 dalam venue pertandingan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Artikel Berikut

Artikel Lain