suria

Tago, Beregu Sandaran Jepun Untuk Ke Separuh Akhir Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Jepun menaruh harapan kepada jaguh perseorangan mereka Kennichi Tago serta pasangan beregu Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata dan Kenichi Hayakawa-Kenta Kazuno untuk layak ke separuh kejohanan Piala Thomas.

Ketua jurulatih Jepun Park Joo-bong berkata pasukan itu telah menunjukkan banyak peningkatan sejak pusingan akhir Piala Thomas sebelum ini di Jakarta, dan mempunyai lebih banyak peluang untuk melepasi peringkat suku akhir.

"Dua tahun lepas kami layak ke suku akhir. Kali ini kami akan berusaha lebih keras untuk layak ke separuh akhir," kata jurulatih dari Korea itu sewaktu sesi latihan pasukan Jepun di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Walaupun mengakui bahawa Malaysia secara keseluruhannya pasukan yang lebih kuat berbanding mereka, Park berkata pemain-pemainnya tidak akan mudah menyerah kalah tanpa memberikan tentangan terutama naib juara All-England, Tago yang mahu menebus kekalahannya di England kepada pemain utama negara Lee Chong Wei.

"Sejak All-England, Tago berada pada prestasi yang sangat baik. Beliau mempunyai motivasi dan tumpuanyang tinggi. Bagaimanapun, bagi Chong Wei di sini adalah tempatnya. Pertemuan mereka sudah pasti menarik untuk disaksikan," katanya.

Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki All-England Mac lepas, pemain Jepun berusia 19 tahun itu beraksi cukup cemerlang dan hampir memaksa pemain nombor satu Malaysia dan dunia itu beraksi dalam set penentuan.

Bagaimanapun, pengalaman membantu Chong Wei untuk menundukkan Tago dan muncul juara. Selain Tago, Park berkata Jepun juga meletakkan harapan kepada pasangan beregu untuk mendapatkan dua lagi mata untuk pasukan itu memenangi saingan peringkat kumpulan.

"Saya fikir beregu Malaysia masih kuat berbanding kami, tetapi kami pernah menundukkan Koo dan Tan (Koo Kean Keat-Tan Boon Heong) sebelum ini, jadi dalam beregu kami ada lebih banyak peluang," katanya. Jepun yang diletakkan sebagai pilihan keenam berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dan Nigeria pada pusingan akhir Piala Thomas yang akan bermula Ahad ini sehingga 16 Mei di Stadium Putra.

Pemain-pemain Jepun yang lain adalah Kazushi Yamada, Sho Sasaki dan Shoji Sato bagi perseorangan serta gandingan Hiroyuki Endo-Yoshiteru Hirobe.

Artikel Berikut

Artikel Lain