suria

PM Harap Skuad Negara Rangkul Piala Thomas

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap skuad badminton negara melakukan yang terbaik untuk merangkul Piala Thomas, yang kali terakhir dijulang pasukan negara 18 tahun lepas.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa memberi komitmen dan sokongan penuh kepada skuad negara.

"Bagaimanapun saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka sebab kalau kita selalu sebut mereka supaya menang, ini akan menjadi tekanan kepada emosi dan psikologi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat serentak cawangan-cawangan Umno Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula Ahad ini sehingga 16 Mei.

Najib bagaimanapun yakin faktor bermain di gelanggang sendiri dan prestasi semasa skuad negara mampu untuk membawa kejayaan, yang pernah dikecapi pada 1992.

"Mereka (pemain) ada bakat, pengalaman dan kebolehan yang mencukupi selain bermain di negara sendiri, jadi semuanya memihak kepada kita. Saya yakin mereka faham apa yang harus dilakukan," katanya.

Perdana Menteri berkata setiap pasukan yang menyertai kejohanan itu mempunyai misi yang sama untuk membawa pulang piala berprestij itu ke negara masing-masing.

"Persaingan dalam Piala Thomas ini hebat juga dan apa yang diharap ialah para pemain melakukan yang terbaik," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain