suria

Piala Thomas: Denmark Diwakili Pemain Baru Dan Lama

KUALA LUMPUR: Denmark akan menurunkan gandingan pemain veteran dan muda dalam kejohanan Piala Thomas di sini kali ini.

Jurulatih perseorangan lelaki dan juga pemain perseorangan Kenneth Jonassen berkata Denmark diwakili pemain veteran Peter Gade iaitu pemain nombor empat dunia, Jan O Jorgensen, Joaachim Perrson dan beliau sendiri.

Mereka juga diwakili juara Kejohanan Remaja Dunia 2010, Viktor Axelsen.

"Walaupun merupakan gandingan antara pemain berpengalaman dengan yang muda, ia merupakan pasukan yang seimbang. Viktor Exelsen baru berusia 16 tahun tetapi beliau merupakan juara remaja dunia," kata Jonassen, 36, kepada pemberita semasa pasukannya mengadakan latihan di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Pemain beregu Denmark pula terdiri daripada Mathias Boe, Carsten Mogensen, Jonas Rasmussen, Lars Paaske dan Thomas Laybourn.

Axelsen yang mula bermain badminton ketika berusia tujuh tahun, berkata beliau dipanggil menyertai skuad Piala Thomas Denmark sebelum Kejohanan Remaja Dunia di Mexico tiga minggu lalu.

"Salah seorang senior saya dalam senarai skuad Piala Thomas, Hans-Kristian Vittinghus cedera baru-baru ini. Oleh itu jurulatih merasa saya boleh menyertai rakan saya yang lain yang lebih berpengalaman," katanya.

Denmark selaku pilihan keempat kejohanan diletak dalam Kumpulan C bersama Jerman dan Poland.

Denmark muncul naib johan pada 1948 di England), 1954 (Singapura), 1963 (Tokyo), 1972 (Jakarta), 1978 (Jakarta), 1996 (Hong Kong), 2004 (Jakarta) dan 2006 (Tokyo).

-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain