suria

Pemilihan FAM Bagi Sesi 2010-2014 Ditentukan Julai Ini

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pemilihan kepimpinan tertinggi pada 31 Julai depan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata pemilihan barisan kepimpinan itu yang berlangsung serentak dengan AGM adalah bagi tempoh empat tahun iaitu bagi penggal 2010 hingga 2014.

"Jawatan yang dipertandingkan adalah presiden (satu jawatan), timbalan presiden (dua jawatan), naib presiden (empat jawatan) dan lapan Ahli Majlis FAM," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Azzuddin berkata notis mengenai AGM dan borang pencalonan telah pun dihantar pada 29 April lepas kepada semua anggota-anggota gabungan FAM.

"Kini terpulang untuk anggota-anggota gabungan mencalonkan sesiapa sahaja bagi mengisi jawatan-jawatan terbabit dan tarikh tutup untuk pencalonan adalah sebulan sebelum tarikh pemilihan," katanya.

Azzuddin pada April lepas telah mengesahkan kepada Bernama bahawa Presiden FAM Sultan Ahmad Shah telah menyatakan kesudian baginda untuk terus menerajui badan induk bola sepak tanah air itu.

Dua jawatan Timbalan Presiden FAM kini disandang oleh Datuk Redzuan Sheikh Ahmad dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Penyandang jawatan naib presiden pula diketuai oleh Datuk Che Mat Jusoh, Datuk Affandi Hamzah dan Ahamad Mohamad manakala Datuk Gulzar Mohamad telah meletak jawatan pada November tahun lepas.

Sultan Ahmad Shah pada Januari lepas telah mengingatkan anggota-anggota gabungan FAM supaya tidak terlalu ghairah melobi dan berkempen untuk merebut jawatan pada pemilihan terbabit.

"Calonkan dan pilihlah individu yang benar-benar ikhlas untuk mencurah khidmat atas nama pembangunan bola sepak negara dan bukan untuk agenda sendiri," titah baginda.

Artikel Berikut

Artikel Lain