suria

Malaysia Seri 3-3 Dengan Pakistan

IPOH: Malaysia memulakan saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-19 dengan bersemangat apabila berjaya berkongsi mata selepas seri 3-3 dengan Pakistan di sini semalam.

Bagaimanapun, Malaysia gagal mempertahankan kelebihan dua gol selepas mendahului 3-1 pada pertengahan babak kedua.

Sebelum pemain negara dapat membaca rentak lawan, Pakistan membuka tirai jaringan apabila Shafqat Rasool menewaskan penjaga gol S. Kumar seawal minit keempat menerusi jaringan padang.

Gol pembukaan itu tidak mematahkan semangat anak buah Stephen Van Huizen untuk mengatur beberapa serangan sehingga membuahkan pukul sudut penalti.

Hafifihafiz Hanafi menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila pukulan sudut itu gagal diselamatkan oleh penjaga gol Pakistan Imran Butt.

Pakistan kemudian bangkit dengan melancarkan serangan pantas tetapi namum usaha mereka itu tidak mengubah keputusan sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan sebelum Mohd Amin Rahim meletakkan Malaysia di depan dengan jaringan pada minit ke-50 menerusi pukulan sudut penalti.

Gol tersebut telah menaikkan semangat pemain negara apabila seminit kemudian Hafifihafiz mengukuhkan kedudukan 3-1.

Bagaimanapun, Pakistan tidak berputus asa malah mengasak pintu gol Malaysia sehingga berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-56 melalui pukulan sudut penalti oleh Muhammad Irfan.

Pakistan terus melancarkan gerakan kemas selepas itu untuk menggugat benteng pertahanan lawan dan akhirnya berjaya membolos gawang gol Malaysia pada minit ke-69 untuk berkongsi mata. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain