suria

Chamakh Sertai Arsenal Dengan Gaji Lumayan £50,000 Seminggu

PENYERANG sensasi Bordeaux, Marouane Chamakh berkata, dia kini sedang menghitung hari untuk menyertai Arsenal secara percuma setelah kontraknya bersama kelab Perancis itu tamat 11 hari lagi.

Penyerang antarabangsa Morocco yang berusia 26 tahun itu khabarnya akan menandatangani kontrak bersama Arsenal dengan bayaran gaji sebanyak £50,000 seminggu.

Chamakh telah menjaringkan 15 gol dalam liga Perancis musim ini.

Menurut Chamakh dia telah membuat keputusan muktamad untuk menyertai Arsenal pada bulan Februari lagi selepas bermain selama hampir 10 tahun bersama Bordeaux dan membantu kelabnya itu bermain di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

"Saya menyertai Bordeaux sebagai seorang budak tetapi saya akan menyertai Arsenal sebagai seorang yang telah dewasa," ujarnya lagi.

Penyerang itu juga mengakui sebelum memutuskan untuk menyertai Arsenal, dia telah menerima tawaran daripada Liverpool, Tottenham dan juga satu tawaran yang sangat lumayan daripada sebuah kelab Rusia tetapi akhirnya memilih untuk bermain di Liga Perdana Inggeris.

Kehadiran Chamakh di barisan hadapan Arsenal bakal menyaksikan masa depan Eduardo terumbang ambing.

Sementara itu, penjaga gol Arsenal, Lukasz Fabianski yang kini menjadi sasaran Blackburn berkemungkinan besar akan menerima tawaran tersebut. Dan jika Manchester City bersedia melepaskan Joe Hart ini bermakna Arsenal secara rasmi akan mengemukakan tawaran kepada penjaga gol itu.

Di barisan pertahanan pula, Pengurus Arsenal Arsene Wenger masih tidak dapat menyelesaikan isu kontrak William Gallas yang akan menjadi agen bebas selepas tamatnya musim ini dan begitu juga dengan seorang lagi pemain Mikaël Silvestre.

Tetapi Sol Campbell khabarnya akan menerima tawaran selama setahun untuk terus kekal bersama kelab lamanya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain