suria

Hoki: Ujian Pertama Stephen Van Huizen Bermula Esok

IPOH: Malaysia menghadapi cabaran getir untuk mengulangi pencapaian tahun lepas apabila memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-19 dengan menentang Pakistan di sini esok.

Edisi tahun ini dianggap lebih sukar buat skuad bimbangan Stephen Van Huizen kerana baru membentuk pasukan selepas gagal ke pusingan akhir Piala Dunia di New Delhi, Mac lalu.

Halangan untuk melepasi empat negara yang baru sahaja menyertai Piala Dunia iaitu pasukan juara Australia, Korea Selatan, Pakistan dan India sudah pasti menggugat semangat pemain Malaysia buat seketika.

Selain empat negara itu, kejohanan tahunan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran China dan Mesir.

Kejohanan jemputan berprestij itu menjadi ujian pertama menilai kemampuan Stephen sebagai jurulatih kebangsaan selepas menggantikan Tan Beng Hai dalam usaha mengembalikan maruah pasukan di persada antarabangsa.

Malaysia akan turun sebagai pasukan naib juara, selepas tewas 1-3 kepada India pada perlawanan akhir tahun lepas dan status tersebut bakal memberi tekanan untuk mengekalkan pencapaian itu.

Kekalahan 1-4 kepada Australia pada perlawanan persahabatan dua hari lepas, telah memberi sedikit gambaran mengenai keupayaan pasukan negara menentang Pakistan.

Namun Stephen bersemangat dengan pemain gandingan baru dan yakin cabaran untuk mengulangi pencapaian tahun lepas tidak mustahil.

"Walaupun pasukan ini dibentuk sebulan yang lalu tetapi saya percaya mereka mempu memberi tentangan sengit kepada pihak lawan," katanya.

Katanya harapan tinggi disandarkan kepada skuad itu untuk mempamerkan aksi cemerlang di gelanggang sendiri namum realitinya pasukan itu sebenarnya dipersiapkan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada akhir tahun ini.

Oleh itu katanya, keputusan yang bakal dicatat dalam kejohanan tersebut tidak penting tetapi peningkatan persefahaman antara pemain sangat diperlukan.

Selepas Pakistan, Malaysia akan menentang Korea Selatan pada Jumaat ini Australia (Ahad), Mesir (10 Mei), India (12 Mei) dan China pada hari berikutnya. - BERNAMA

Artikel Lain