suria

Aksi Separuh Akhir, Kemuncak Piala Thomas dan Uber Secara HD

Datuk Mohd Nadzmi (tiga dari kanan) dan Datuk Rohana (tiga dari kiri) bergambar bersama para pemain badminton negara pada majlis usahasama antara ASTRO dan BAM di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Mohd Nadzmi (tiga dari kanan) dan Datuk Rohana (tiga dari kiri) bergambar bersama para pemain badminton negara pada majlis usahasama antara ASTRO dan BAM di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Mohd Nadzmi (tiga dari kanan) dan Datuk Rohana (tiga dari kiri) bergambar bersama para pemain badminton negara pada majlis usahasama antara ASTRO dan BAM di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bimbang terlepas peluang menyaksikan kehebatan skuad badminton negara berentap pada Kejohanan Piala Thomas dan Uber 2010 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula Ahad ini?

Kini, keresahan itu terjawab apabila semua pelanggan penyiar saluran televisyen berbayar utama Malaysia, Astro berpeluang menyaksikan persembahan pasukan negara menerusi siaran langsung di Astro SuperSport (Saluran 811) dan Astro Arena (Saluran 801).

Lebih menarik lagi, semua pelanggan Astro boleh menyaksikan perlawanan separuh akhir dan perlawanan kemuncak Piala Thomas dan Uber melalui siaran berdefinisi tinggi (HD).

Bukan itu saja, pelanggan Astro juga disajikan dengan lebih banyak perlawanan yang melibatkan pasukan-pasukan pilihan utama secara langsung terutamanya skuad negara dalam ulasan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di kedua-dua saluran milik syarikat itu.

Pada masa sama, Astro turut memeterai perjanjian dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama tiga tahun selaku penaja skuad negara dan penyiar rasmi untuk kesemua kejohanan tahunan persatuan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, sejajar dengan misi pihaknya untuk membangun program sukan di peringkat akar umbi, Astro Arena, saluran sukan tempatan 24 jam yang pertama di Malaysia dilancarkan pada Mac lalu.

"Kami memilih untuk memperjuangkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Pemeteraian itu dibuat kerana Astro percaya sukan mampu menyatukan individu, masyarakat dan negara selain membangunkan industri sukan tempatan.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian Astro untuk menaja skuad negara dan menyokong inisiatif BAM dalam meneruskan legasi badminton negara.

"Saya percaya semua rakyat Malaysia akan menyokong pasukan negara kelak. Apa yang penting sekarang adalah pasukan badminton negara mempamerkan persembahan terbaik untuk mengembalikan trofi Piala Thomas yang dimenangi buat kali terakhir di gelanggang sendiri pada 1992," katanya pada Majlis Kerjasama Astro-BAM Arena, hari ini.

Tinjauan di sekitar Stadium Putra Bukit Jalil mendapati kerja-kerja membaik pulih stadium sedang giat dilakukan dan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Artikel Lain