suria

Lebih 6,000 Sertai Larian Bomba 2010

KUALA LUMPUR: Seramai 6,405 peserta Larian Bomba 2010 hari ini dilepaskan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin pada kira-kira pukul 7.30 pagi di Dataran Merdeka di sini.

Antara yang turut serta dalam larian itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Hamzah Abu Bakar.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Morni Mamat berkata larian itu merupakan salah satu daripada acara sempena sambutan Hari Bomba yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada anggota bomba yang banyak mencurah masa dan tenaga mereka demi menjaga keselamatan nyawa dan harta benda orang ramai.

"Acara pagi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran enam anggota bomba dari Singapura dan Brunei yang julung-julung kali menyertai larian sebagai tanda persahabatan erat antara negara terbabit," katanya kepada pemberita pagi ini.

Beliau berkata, acara kemuncak sambutan Hari Bomba peringkat kebangsaan adakan diadakan di Dataran Hilir, Melaka pada Sabtu ini yang bakal dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Seri Mohd Khalil Yaakob.

Artikel Lain