suria

KL Plus Masih Percaya Kemampuan Mat Zan

KUALA LUMPUR: KL Plus masih memberi kepercayaan kepada ketua jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris untuk terus membimbing pasukan berstatus kelab itu di dalam saingan Liga Super.

Pengurus pasukan, Husni Md. Yusof berkata, pada masa ini tempat ketua jurulatih berkenaan tidak akan diganti cuma pasukan itu akan 'meringankan tugas' Mat Zan dengan menambah tenaga kejurulatihan.

"Pihak pengurusan akan melantik seorang lagi penolong jurulatih bagi membantu Mat Zan merangka strategi dan memberikan idea baru," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Husni berkata perkara tersebut telah pun dirunding dan dipersetujui sendiri oleh Mat Zan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan prestasi Mat Zan tetap akan dinilai dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain bermula aksi menentang Perak pada Selasa ini.

Nasib bekas jurulatih Kuala Lumpur itu tampak goyah setelah skuad yang digelar 'Highway Warriors' itu gagal mencapai keputusan yang memberansangkan apabila menduduki tempat ke-12 daripada 14 pasukan dalam saingan Liga Super.

Mereka yang mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala kini mengumpul lapan mata setelah sekadar mencatatkan dua kemenangan, dua seri serta lapan kekalahan, selain tersingkir di peringkat suku akhir Piala FA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain