suria

Pertarungan Sebenar Ialah Menentang Diri Saya: Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei percaya pertarungan sebenar dalam kejohanan Piala Thomas di sini nanti ialah menentang dirinya sendiri.

Sebagai pemain perseorangan pertama, beliau memikul tugas berat untuk mencipta mata pertama untuk pasukan negara.

"Letak ketepi soal lawan yang gah, kemahiran dan strategi, apa yang tinggal ialah diri kita dan emosi dalaman kita yang perlu kita atasi.

"Saya harap saya dapat memenangai pertarungan dengan diri saya," katanya kepada Bernama hari ini.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung dari 9 hingga 16 Mei di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini. Pemain nombor satu dunia itu berkata, beliau akan mengambil kesempatan bermain di gelanggang sendiri.

"Bermain di tempat sendiri adalah baik untuk saya. Saya boleh bergantung terhadap sokongan penyokong tempatan," katanya.

Chong Wei berkata, selepas menyertai kem motivasi selama tiga hari di Port Dickson dan latihan simulasi, moral para pemain meningat dengan banyak dan mereka bersedia untuk menghadapi cabaran kejohanan.

"Kami berjanji untuk bermain bermati-matian dan melakukan yang terbaik untuk negara," katanya.

Selaku pemain perseorangan pertama, beliau menjangka akan bertemu jaguh China, Lin Dan, Peter-Gade Christensen dari Denmark, Taufik Hidayat dari Indonesia dan Park Sung-hwan dari Korea Selatan.

Beliau juga dijangka bertemu Kenichi Tago dari Jepun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain