suria

Pelajar Sekolah Aset Arena Sukan Negara

TEMERLOH: Dalam usaha menyemarakkan arena sukan negara sekolah dikenalpasti sebagai tapak permulaan terbaik untuk mencungkil bakat dan melatih anak-anak muda menjadi atlet yang disegani.

Ini merupakan penemuan Simposium Sukan Pahang yang berlangsung selama dua hari di Temerloh baru-baru ini dan boleh dijadikan panduan dalam menyemarakkan arena sukan tanahair yang kini ketandusan bakat.

Umum tahu bagaimana Marina Chin, Rabuan Pit, Watson Nyambek pernah mengharumkan nama negara pada kejohanan tempatan dan antarabangsa sekitar 1970-an, 1980-an dan 1990an. Tetapi mereka kini adalah kenangan silam dengan golongan pelapis jelas kekurangan.

Oleh itu, para peserta simposium mahu Jabatan Pelajaran memastikan para pengetua sekolah memberi komitmen kepada semua aktiviti sukan sedia ada.

KIDS' ATHLETICS

Rajeswary Marriappan seorang jurulatih berharap program 'Kids Athletics' iaitu satu pendekatan baru dalam memperkenalkan sukan kepada kanak-kanak di sekolah akan mengembalikan kegemilangan arena sukan negara.

Pendekatan seperti ini juga membolehkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menceburi acara-acara sukan.

Dengan cara ini, katanya, kanak-kanak sekolah boleh dilatih sebagai bakal atlet negara jika mereka mempunyai kehebatan tersendiri.

"Dalam erti kata lain, sekolah bukan sahaja berperanan mencungkil bakat akademik tetapi juga bakat sukan," katanya.

Seorang lagi perserta simposium Junaidah Salehhyuddin yang mengkhusus dalam pengajian sains sukan pula berharap selain 'Kid Athletics' di sekolah rendah, mata pelajaran sains sukan boleh diperkenalkan di sekolah-sekolah bermula tingkatan satu.

"Ia boleh diajar dalam bahasa Inggeris," katanya.

Roslan Ismail seorang jurulatih olahraga pula mahu Jabatan Pelajaran memastikan sekolah-sekolah di sesebuah daerah menyertai semua jenis sukan dan tidak tumpukan kepada sukan popular sahaja seperti bola sepak dan badminton.

Beliau juga berharap sukan yang sinonim dengan satu-satu masyarakat, misalnya sepak takraw yang biasanya terdapat di sekolah kebangsaan sahaja diperkenalkan secara agresif di sekolah Tamil dan Cina.

Pada masa yang sama ping pong yang lazim di sekolah Cina diperkenalkan di sekolah kebangsaan serta sekolah Tamil dan begitu juga Kabbadi diperkenal di sekolah kebangsaan dan Cina. Dengan cara ini bukan sahaja ramai pemain akan menceburi sukan ini bahkan ramai lagi jurulatih akan mendapat peluang mengajar pemain di sekolah-sekolah berkenaan.

Ini juga dapat meningkatkan konsep 1Malaysia seperti yang diwarwarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Roslan lagi.

Para peserta simposium juga menyentuh mengenai peranan media dan 'role model' sukan dalam menyemarakkan arena sukan negara.

Peranan Media Mereka mahu media melaporkan sebarang kejohanan, penyertaan dan pencapaian sukan oleh peserta walaupun sukan itu tidak terkenal umpamanya sukan kabaddi, silambam atau pun 'wood ball'.

Seorang penuntut UiTM Nor Nabihah Abdul Aziz yang juga peserta simposium mahu media memperkenal dan menyalurkan maklumat tentang kerjaya sukan khususnya sains sukan yang akan mendorong pelajar meminati sukan.

Beliau juga mahu media menampilkan mereka yang telah berjaya sehingga ke peringkat profesional dalam bidang ini.

Turut berkongsi pendapat beliau ialah rakan dari UiTM Nurul Atiqah Adawiyah Mat Rozai yang berharap media akan menggunakan kaedah seperti animasi dalam menggalakkan sukan kepada generasi muda terutama mereka di sekolah rendah dan tadika.

Peranan 'Role Model'

Seorang jurulatih acara olaraga, Rus Mat Ali berharap media menyediakan ruang atau kolum khas dalam akhbar ataupun laman web mengenai ahli sukan berjaya yang boleh dijadikan teladan atau 'role model'.

Pada masa yang sama maklumat tentang persatuan sukan setempat boleh disertakan dalam laman web media berkenaan.

Ada juga peserta simposium yang mencadangkan supaya Jabatan Pendidikan menggantung poster atau baner mengenai jaguh-jaguh sukan yang mengharumkan nama negara di perkarangan sekolah.

Juga dicadangkan sekolah-sekolah melakukan 'countdown' bagi kejohanan sukan umpamanya SUKMA 2010 dan ini akan membantu meningkatkan kesedaran dan keghairahan terhadap sukan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain