suria

Rooney Terima Anugerah Pemain Profesional Terbaik

Rooney menunjukkan trofi yang dimenangi selepas dinobatkan selaku Pemain Profesional Terbaik malam tadi. Foto AP
Rooney menunjukkan trofi yang dimenangi selepas dinobatkan selaku Pemain Profesional Terbaik malam tadi. Foto AP
Rooney menunjukkan trofi yang dimenangi selepas dinobatkan selaku Pemain Profesional Terbaik malam tadi. Foto AP

LONDON: Penyerang Wayne Rooney dinobatkan selaku Pemain Profesional Terbaik oleh Persatuan Pemain Profesional (PFA).

Pemilihan Rooney yang mengatasi beberapa calon lain seperti Cesc Fabregas, Carlos Tevez dan Didier Drogba membolehkan Manchester United mendominasi anugerah berprestij itu selama empat musim berturut-turut.

Pemain berusia 24 tahun itu yang mempamerkan aksi luar biasa musim ini apabila meledakkan 34 gol untuk United merupakan tonggak utama England menjelang aksi Piala Dunia di Afrika Selatan.

"Saya berasa bangga untuk memenangi anugerah pemain terbaik tahunan kerana ia dipilih oleh pemain.

"Saya masih ingat lagi, saya pernah berada di sini pada 2005 dan 2006 untuk memenangi anugerah pemain muda terbaik tahunan," katanya.

Rooney yang baru saja pulih daripada kecederaan buku lali terlepas aksi menentang Tottenhan Hotspur minggu lalu kerana menanggung masalah pangkal paha ketika menjalani latihan.

Penjaring gol terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berharap untuk kembali memperkuat United menjelang aksi menentang Stoke City awal bulan depan dan memberi jaminan dia akan cergas sepenuhnya untuk kempen Piala Dunia.

"Kecederaan di pangkal paha itu akan pulih sebelum Piala Dunia. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya mahu segera pulih dan beraksi bersama United pada perlawanan penutup tirai musim ini," katanya.

Rooney adalah pemain England pertama yang memenangi anugerah itu selepas Steven Gerrard pada 2006.

Artikel Lain