suria

Pemain Badminton Negara Sudah Bersedia

PORT DICKSON: Semua pemain badminton negara yang bakal beraksi pada kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber bulan depan kini cukup bersedia untuk menghadapi kejohanan berprestij itu, kata Ketua Jurulatih badminton negara Rashid Sidek.

Beliau berkata para pemain yang tersenarai adalah pemain terbaik dan mampu menggalas cabaran pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, bermula 9 Mei ini.

"Secara keseluruhannya, daripada segi fizikal dan mental saya dapati mereka telah bersedia untuk menghadapi kejohanan itu.

Semua program memang sudah disusun dan kita telah membuat persediaan terbaik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup kem bina semangat Piala Thomas/Uber oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh di Bayu Beach Resort di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan pengurus pasukan Datuk Sayed Abu Bakar.

Rashid berkata, melalui kem tiga hari itu, secara mental pemain sudah bertambah yakin manakala semangat berpasukan pun sudah bertambah bagus.

"Begitu juga kerjasama di antara jurulatih dan pemain didapati mantap dan saya berharap perkara ini akan terus berkekalan sehingga ke pertandingan nanti," katanya.

Ditanya mengenai peluang Malaysia memenangi Piala Thomas pada kali ini, beliau berkata peluang itu memang ada walaupun ia 50-50.

Katanya, cabaran kuat lazimnya datang daripada pasukan Korea Selatan, China, Indonesia dan Denmark yang masing-masing juga mempunyai peluang 50-50.

"Kebanyakan pemain pasukan tersebut kita pernah jumpa dan mereka semua berpeluang 50-50. Kelebihan kita ialah sebagai tuan rumah dan kebanyakan pemain kita yang tersenarai mempunyai pengalaman," katanya.

Jurulatih beregu negara Rexy Mainaky berkata, banyak manfaat diperoleh apabila pemain menjalani program kem bina semangat, antaranya memupuk semangat berpasukan yang tinggi dan pemain kini semakin bertambah yakin untuk beraksi.

"Reaksi daripada setiap pemain selepas menjalani program tiga hari kem bina semangat ini kita lihat semangat pemain begitu berkobar-kobar dan kerjasama di antara mereka berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Mohd Nadzmi berharap pemain badminton negara akan mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan itu.

"Setelah semua persiapan berjalan dengan baik berbanding kejohanan sebelum ini, saya berharap pasukan kita tidak akan menghampakan harapan seluruh rakyat Malaysia. Sebagai tuan rumah kita berharap setiap pemain dapat melakukan yang terbaik," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Nadzmi turut mengumumkan senarai pemain Piala Thomas dan Piala Uber dan pemberian insentif kepada para pemain.

Senarai pemain Piala Thomas 2010 :

1. Datuk Lee Chong Wei

2. Wong Choon Hann

3. Hafiz Hashim

4. Tan Chung Seang

5. Koo Kien Keat

6. Tan Boon Heong

7. Mohd Zakry Abd Latif

8. Fairuzizuan Tazari

9. Hoon Thien How

10.Ong Soon Hock

Senarai pemain Piala Uber 2010 :

1. Wong Mew Choo

2. Julia Wong

3. Lydia Cheah

4. Tee Jing Yi

5. Chin Ee Hui

6. Wong Pei Tty

7. Woon Khe Wei

8. Vivian Ho

9. Goh Liu Ying

10.Ng Hui Lin - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain