MANCHESTER: Pengurus Sir Alex Ferguson memuji aksi cemerlang pemain tengah Manchester United, Paul Scholes kerana menghidupkan semula harapan Red Devils dalam buruan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.Scholes yang berusia 35 tahun baru, meraikan kontrak lanjutan selama setahun di Old Trafford dengan jaringan kemenangan dramatik ke atas seteru, Manchester City pada malam tadi. Masuk minit terakhir masa kecederaan, Scholes menanduk masuk hantaran cantik Patrice Evra yang sebelum itu menerima hantaran cantik daripada Gabriel Obetan dan gagal disekat penjaga gol City, Shay Given.Gol tunggal Scholes itu membolehkan United menarik nafas lega dan berpeluang untuk mempertahankan rekod kejuaraan EPL buat kali keempat berturut-turut."Ia adalah penyudah menakjubkan. Kami mempunyai tiga gol pada saat-saat akhir ke atas City pada musim ini tetapi layak memperolehinya."Kami mempunyai beberapa peluang tetapi ia kelihatan seperti tiada siapa yang akan memenangi perlawanan itu. Saingan menjadi amat terbuka pada 10 minit terakhir," katanya.Menurut Ferguson, dia hampir berputus asa dan menjangkakan perlawanan itu akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.Bagaimanapun, United sentiasa bernasib baik kerana gol kemenangan pada saat-saat akhir hadir dalam kebanyakan perlawanan."Anda sentiasa berharap agar perkara seperti itu akan berlaku semula. Tiada siapa mampu menandingi keupayaannya (Scholes) untuk membolosi gol lawan. Tiada siapa berada dekat dengannya dan ia adalah tandukan bebas," kata Ferguson.Pengurus kelahiran Scotland itu menganggap Scholes sebagai pemain terbaik pada perlawanan malam tadi kerana dia begitu hebat dan mempunyai kemahiran tersendiri.