suria

Nicol melangkah ke final

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy Malaysia dan pemain wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David menumpaskan Rachael Grinham dari Australia, semalam untuk menempah pertemuan dengan pemain dari England Jenny Duncalf dalam perlawanan akhir Kejohanan Cayman Islands Open hari ini.

Nicol, pemain pilihan pertama kejohanan, mengenepikan Grinham dengan 11-5, 11-7 dan 11-9 untuk melepasi peringkat separuh akhir dalam masa 30 minit, di gelanggang kaca Camana Bay di Cayman Islands, semalam.

Dalam perlawanan akhir kejohanan sulung tahun lepas, Nicol menumpaskan Natalie Grainger dari Amerika 3-0.

"Saya faham benar dengan corak permainan Rachael, jika dia diberi peluang membuat pukulan yang baik, dia pasti menyerlah, jadi saya kena bertindak pantas dengan membuat pukulan pantas saya terlebih dahulu.

"Dia selalu menampilkan cabaran sengit yang sekali gus menambah kemantapan permainan saya, pertemuan antara kami sentiasa hebat. Saya hanya perlu lebih fokus dan sentiasa berusaha membuat pukulan yang tepat dan kena masanya," kata beliau yang dipetik dalam laman web skuasy www.squashsite.co.uk.

Perlawanan akhir antara Duncalf dan Nicol pastinya menjanjikan pertembungan sengit, di mana kali terakhir mereka bertemu ialah di perlawanan akhir Chennai Open 7 Mac lepas, yang menyaksikan kemenangan Nicol 3-0.

Pemain nombor dua dunia, Duncalf menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pemain pilihan keempat kejohanan Madeline Perry dari Ireland dengan 11-8, 11-8 dan 11-5 dalam perlawanan yang berlangsung selama 42 minit.

Dalam kejohanan sulung Cayman Islands Open tahun lepas, Duncalf ditewaskan oleh Grainger 0-3 di peringkat saingan separuh akhir.

Sementara itu, Grainger dalam kejohanan tahun ini terpaksa pulang lebih awal apabila ditewaskan oleh pemain Perancis Isabelle Stoehr dalam pusingan pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain