suria

Mew Choo Ikut Jejak Hafiz

NEW DELHI: Selepas perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim terkandas dalam saingan peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia Yonex-Sunrise di sini, pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo turut mengalami nasib yang sama apabila tumpas di tangan pemain tuan rumah.

Mew Choo tidak dapat menahan kemaraan pemain India, Saina Nehwal, yang banyak mengumpul mata menerusi pukulan drop yang mantap dan smash kencang, yang terus menjerat langkah pemain Malaysia.

Saina, pemain pilihan pertama kejohanan, memperolehi kemenangan dengan straight set 21-5, 21-13, di atas gelanggang sama yang menyaksikan Muhammad Hafiz tumbang beberapa jam sebelumnya.

Pasukan beregu lelaki negara turut mengalami nasib yang sama dalam saingan peringkat suku akhir hari ini apabila dua beregu negara terkandas dalam perlawanan masing-masing hari ini.

Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong tewas di tangan pasangan Chinese Taipei, Chen Hung Ling dan Lin Yu Lang 19-21, 21-15, 21-18, manakala pasangan Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan menumpaskan pasangan Hoon Thien How-Ong Soon Hock 21-18, 21-17.

Sementara itu, pasangan beregu wanita Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei pula berjaya memberi sedikit sinar gembira buat kem Malaysia apabila mereka berjaya menumpaskan pasangan Meiliana Jauhari dan Greysia Polil dari Indonesia 26-24, 11-21, 21-14.

Pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga berjaya menumpaskan pasangan Jepun Hirokatsu Hashimoto-Fujii Mizuki 18-21, 21-16, 21-9.

Keputusan membabitkan pemain Malaysia:

Perseorangan lelaki: Ponsana (THA) mn Hafiz (MAS) 21-9, 17-21, 21-10

Perseorangan wanita: Nehwal (IND) mn Mew Choo (MAS) 21-5, 21-13

Beregu lelaki: Hung Ling-Yu Lang (TPE) mn Hee Chun-Wee Kiong (MAS) 19-21, 21-15, 21-18, Gun Woo-Yeon Seong (KOR) mn Thien How-Soon Hock (MAS) 21-18, 21-17

Beregu Wanita: Kah Mun-Khe Wei (MAS) mn Meiliana-Polil (INA) 26-24, 11-21, 21-14. Beregu Campuran: Peng Soon-Liu Ying (MAS) mn Hashimoto-Mizuki (JPN) 18-21, 21-16, 21-9. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain