suria

Hasrat Arsenal Buru Takhta EPL Berkecai

LONDON: Segalanya sudah berakhir. Itulah kata-kata Pengurus Arsenal, Arsene Wenger terhadap harapannya untuk memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menyaksikan The Gunners tewas 1-2 kepada Tottenham Hotspur di White Hart Lane awal pagi tadi.

Gol pembukaan Danny Rose seawal minit ke-10 dan rembatan kencang Gareth Bale pada babak kedua membolehkan Spurs mencatat kemenangan pertama ke atas seteru mereka yang berpangkalan di utara London itu sejak 1999.

Arsenal bangkit membuka gol pertama pada saat-saat akhir menerusi jaringan penyerang Nicklas Bendtner.

Kini, The Gunners ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Chelsea dengan baki empat perlawanan.

"Kami tewas pada perlawanan penting dalam perebutan gelaran juara EPL. Kekalahan itu menunjukkan kami tidak cukup matang kerana anda tidak boleh tewas dalam perlawanan seperti ini jika mahu menjulang trofi kejuaraan," kata Wenger.

Menurut Wenger, anak buahnya terus berjuang untuk memperoleh satu mata tetapi mereka memerlukan tiga mata penuh.

Selepas ketinggalan 2-0, Arsenal terus buntu sehingga kemunculan penyerang Robin van Persie pada minit ke-68.

Van Persie membuat penampilan pertama dalam tempoh lima bulan sejak pulih daripada kecederaan ligamen di bahagian buku lalinya.

Penyerang kelahiran Belanda itu melakukan dua percubaan merbahaya yang berjaya diselamatkan penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes sebelum menyuntik inspirasi kepada gol jaringan Bendtner.

"Van Persie tidak menyepak bola selama lima bulan. Anda boleh melihat dia memberikan kelainan dan sesuatu yang istimewa," kata Wenger.

Katanya, pasukan tuan rumah berjaya mempertahankan kubu gawang daripada dibolosi kelabnya dengan begitu sempurna.

Wenger berkata, nasib tidak menyebelahi Arsenal kerana beberapa tonggak utama pasukan itu dilanda kecederaan ketika perlawanan berada di kemuncaknya.

"Anda boleh saksikan perlawanan awal pagi tadi. Ia amat keterlaluan buat kami," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain