suria

Sukan Sebagai Industri Agenda Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Pelbagai kejayaan yang ditempa oleh atlet negara sejak setahun lepas tidak melekakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam misinya menjadikan kementerian itu sebagai antara penjana ekonomi negara.

Dalam wawancara bersama Bernama sempena genap setahun beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) esok, ahmad Shabery menjelaskan bahawa kejayaan yang diraih atlet sejak setahun lepas bukan kejayaan peribadinya.

Bagi beliau semua kejayaan itu hanyalah kesinambungan daripada program yang dirangka oleh menteri-menteri KBS sebelum ini.

Sejak April 2009, antara kejayaan yang menaikkan imej negara ialah pingat emas yang diraih oleh pelumba pecut berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dari siri keempat Kejohanan Dunia di Beijing dan kejayaan kontinjen negara meraih 40 emas di Sukan SEA di Laos pada Disember terutama kejayaan skuad bola sepak negara menamatkan kemarau emas 20 tahun dari temasya tersebut.

Pemain badminton Datuk Lee Chong Wei terus kekal sebagai pemain nombor satu dunia di samping menjuarai Kejohanan All England pada bulan lepas dan Datuk Nicol Ann David juga kekal sebagai pemain skuasy wanita nombor satu dunia.

Namun Ahmad Shabery mahu dianggap berjaya dalam misinya untuk mentransformasi KBS daripada kementerian yang dilihat bertanggungjawab menaikkan imej negara melalui acara sukan kepada kementerian yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Usaha beliau itu diterjemah melalui penubuhan Unit Industri Sukan di KBS yang bertujuan mengumpul data mengenai nilai sukan sebagai satu industri di negara ini.

Sebelum itu, Ahmad Shabery melalui KBS menganjurkan Konvensyen Industri Sukan pada Ogos lepas, dengan tujuan mengumpul maklumat daripada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dengan arena sukan tanah air.

Ketika ini, unit tersebut masih mengumpul data-data yang diperlukan dan usaha menjadikan KBS sebagai kementerian yang turut menjana ekonomi, dijangka terlaksana dalam tempoh dua tahun.

Mengikut anggaran tidak rasmi, 10 tahun lepas bidang sukan dipercayai menyumbang kira-kira RM10 juta kepada ekonomi negara tetapi untuk angka semasa, tiada siapa dapat menghitung nilai sebenar industri itu.

"Saya mahu dilihat berjaya mentransformasi KBS daripada tanggapan normal yang melihat sukan sebagai satu budaya kepada sukan sebagai satu kerjaya dan seterusnya menjadi industri," katanya.

Namun agenda terbesar bagi Ahmad Shabery ialah menjayakan program "Road To London 2012", satu program yang bertujuan mencari emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik, serta kejayaan di Sukan Komanwel di New Delhi, India (3-14 Oktober) dan Sukan Asia di Guangzhou, China (13-21 November).

Masyarakat di negara ini, katanya, masih lagi menilai jumlah pingat yang diraih serta warna pingat itu dan KBS terpaksa akur dengan kehendak itu.

Beliau pernah mengatakan faktor "feel good" iaitu sesuatu yang menyeronokkan rakyat harus diambil kira ketika menentukan sukan yang perlu diberi tumpuan, terutama selepas melihat reaksi rakyat daripada kejayaan skuad bimbingan K.Rajagobal menamatkan kemarau 20 tahun emas bola sepak dari Sukan SEA Laos.

Ahmad Shabery juga cuba mengubah pendekatan utama yang mementingkan pencapaian akademik sehingga sukan dipinggirkan di peringkat sekolah.

Arahan Kementerian Pelajaran agar setiap pelajar bergiat dalam satu jenis sukan atau "1 Pelajar 1 Sukan" dianggap cabaran kepada KBS untuk merealisasikannya.

Walaupun pelbagai kementerian seperti KBS, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi terlibat dalam arahan tersebut, ia lebih mudah direalisasikan kerana arahan tersebut datangnya daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Menurut Ahmad Shabery, bekerja dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin, yang kedua-duanya pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan, menjadikan tugas beliau lebih mudah.

"Tiada bebanan kerana kedua-dua pemimpin ini amat memahami aspirasi rakyat melalui fungsi yang perlu dimainkan oleh KBS," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain