suria

Juara China Menang Kejohanan Catur Terbuka Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Juara kebangsaan China, Hou Yifan, 16, muncul johan Kejohanan Catur Terbuka Kuala Lumpur edisi 2010 setelah mendapat markah tertinggi 7.5 pada kejohanan yang bermula pada 7 April lalu.

Dengan kemenangan tersebut Hou membawa pulang Trofi Cabaran DYTM Raja Nazrin Shah dan wang tunai RM10,000.

"Saya sangat gembira memenangi trofi ini. Saya akan kembali semula ke Malaysia pada kejohanan akan datang untuk mempertahankan kejuaraan," kata Hou.

Pemain remaja wanita yang berasal dari daerah Jiangsu, China itu menewaskan Grandmaster Mikheil Mchedlishvili dari Georgia yang berkongsi mata dengan Anh Dung Nguyen dari Vietnam yang masing-masing mengumpul tujuh mata.

Berangkat menyampaikan hadiah dan trofi kepada para pemenang ialah Canselor Masterskill University College of Health Sciences Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Sementara itu pada majlis yang sama pemain catur kebangsaan negara, Dr Nicholas Chan dinaik taraf sebagai Grandmaster setelah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuaan Catur Dunia (FIDE).

Chan, 24, berkata beliau rasa amat gembira kerana berjaya mendapat gelaran tersebut dan akan kembali memberi tumpuan penuh kepada sesi latihan setelah dua tahun tidak bergiat secara aktif kerana memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Kini saya telah memulakan latihan sebagai persiapan untuk menghadapi Temasya Catur Olimpik di Siberia, Russia pada awal September nanti," katanya kepada Bernama di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan La Liga Sepanyol

Artikel Lain