suria

Negeri Sembilan Julang Piala FA

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan menjulang Piala FA edisi ke-21 setelah menewaskan Negeri Sembilan 5-4 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad 'Hobin Jang Hobin' yang kali terakhir memenanginya pada 2003.

Pada perlawanan itu, Kedah yang terlebih dahulu membuka jaringan awal pada minit ke-27 melalui penyerang berbisa mereka, Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani.

Penyerang bawah 23 tahun kebangsaan itu menerima hantaran rakan sepasukan, Mohd Safiq Rahim sebelum bijak melambungkan bola ke gawang gol setelah Sani terkeluar dari posisinya.

Gol itu nyata membakar semangat anak-anak buah jurulatih Ahmad Yusof yang mendapat sorakan kira-kira 35,000 penyokong untuk terus mengasak bertali-arus namun dinafikan kekentalan benteng pertahanan lawan yang dikemudi oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Syukor Adan.

Namun gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Negeri Sembilan mengemaskan rentak dan mengatur serangan seterusnya berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Mohd Shaffik Rahman licik memperdayakan tiga pertahanan Kedah yang diketuai oleh Mohd Fazliata Taib sebelum menolak bola menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias menceriakan 25,000 penyokong 'Hobin Jang Hobin'.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan yang dibimbing jurulatih Wan Jamak Wan Hassan terus dihidangkan dua peluang melalui Mohd Zaquan Adha dan Mohd Aidil Zafuan namun dihampakan kecekapan Mohd Helmi.

Kedah turut mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutamanya melalui Mohd Khril Muhyameen Zamri tetapi gagal diterjemahkannya untuk gol penyudah.

Berakhir 90 minit masa permainan, kedudukan masih terikat 1-1 memaksa perlawanan dilanjutkan masa tambahan 30 minit namun masih gagal mencari sebarang gol, memaksa penentuan menerusi sepakan penalti.

Tuah nyata milik Negeri Sembilan apabila berjaya memenangi sepakan penalti itu dengan keputusan 5-4 setelah penjaga golnya menyelamatkan tiga sepakan penalti lawan iaitu Mohd Fazliata, Mohd Helmi dan Mohd Sabre Mat Abu.

Kekecewaan Kedah sedikit terubat apabila penjaga golnya, Mohd Helmi dan Baddrol dipilih sebagai penjaga gol dan pemain terbaik perlawanan akhir.

Berangkat menyaksikan perlawanan adalah Tengku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tengku Anuar Sultan Badlisyah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan. - BERNAMA

Artikel Lain