suria

Muhyiddin Luang Masa Sertai Golf Jemputan Genting 2010

GENTING HIGHLANDS: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa menyertai kejohanan Golf Jemputan Genting 2010 di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort, di sini.

Turut serta ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit, Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia Bhd Datuk Lee Choong Yan, Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Tun Haniff Omar, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelancongan Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Kejohanan golf jemputan itu adalah sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan kumpulan Genting dan disertai 80 pemain golf terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, kumpulan Genting, wakil sektor korporat dan wakil media.

Pada pertandingan itu, Penolong Pengarang Sinar Harian Imran Mohamad Nor muncul juara keseluruhan dengan melakukan 41 pukulan (handicap 14).

Tempat kedua pula dimenangi peserta dari Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) Datuk Abdul Rashid Asari yang juga melakukan 41 pukulan dengan handicap 6 dan diikuti Pengarang Eksekutif NTV7 Adriana Aris yang melakukan 38 pukulan (handicap 30).

Muhyiddin bagaimanapun meninggalkan majlis selepas menamatkan permainan.

Dalam kata-kata aluan pada buku cenedermata, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Genting Malaysia kerana terus menjadi tuan rumah kejohanan seperti itu dan mengumpulkan pemain-pemain daripada sektor kerajaan, korporat dan media selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Kita ada lebih 200 padang golf di Malaysia dan saya pasti jika kita bekerjasama, kita akan dapat mengeluarkan bukan satu tetapi beberapa juara yang boleh bertanding pada peringkat antarabangsa.

"Adalah menjadi impian saya untuk kita mempunyai seorang juara Malaysia yang bukan hanya mengambil bahagian dalam lima kejohanan utama tetapi juga menang sekurang-kurangnya salah satu daripanya.

Dengan bantuan sektor korporat, saya pasti kita boleh mencapai sasaran ini," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain