suria

Tiga Penerjun Ke Kejohanan Dunia Di Changzhou

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Abdul Rashid Muhammad, Ooi Tze Liang dan Pandelela Rinong menjadi sandaran negara pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA dari 2 hingga 6 Jun ini di Changzhou, China.

Walaupun dijangka menghadapi saingan sengit, Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) tetap mensasarkan sasaran untuk mara ke pusingan akhir.

Setiausaha persatuan itu, Edwin Chong memberitahu bahawa kebanyakan negara yang menguasai arena sukan terjun telah meningkatkan darjah kesukaran (DD) dan kualiti terjunan atlet masing-masing dan ini merupakan cabaran kepada Malaysia dalam menyaingi negara-negara tersebut.

Katanya, pasukan negara juga sedang meningkatkan DD penerjun tempatan, namun usaha itu memerlukan masa yang agak lama.

"Tiap-tiap negara kini telah meningkatkan kualiti terjunan dan DD masing-masing. Kita pun nak naikkan DD (penerjun Malaysia) tapi ini perlukan masa yang panjang," katanya.

Chong berkata, antara atlet terjun yang belum mencapai tahap DD memuaskan ialah penerjun dari Sarawak, Pandelela Rinong.

Bagaimanapun, gadis berusia 17 tahun itu telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam kejohanan siri dunia FINA yang berlangsung bulan lalu di Tsingdao, China, sekaligus melayakkan beliau mewakili negara dalam piala dunia di Changzhou tahun ini.

Beliau telah memenangi emas dalam acara terjun 10 meter individu wanita dan terjun serentak pada Sukan SEA di Laos tahun lalu, selain terpilih untuk mengikuti program 'Road to London 2012'.

Chong berkata, senarai penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik Remaja di Singapura, Ogos ini, akan diketahui dua minggu lagi.

"Pilihan akan dibuat oleh persekutuan antarabangsa dan diumumkan oleh mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain