suria

Terengganu Uji Atlet Kuda Lasak Sukma Di Melaka

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menguji empat atlet kuda lasak bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 pada Kejohanan Kuda Lasak Melaka mulai 9 hingga 11 April ini.

Pengurus pasukan Ismail Awang berkata ia adalah sebagai kejohanan pemanas badan di samping menguji trek yang akan digunakan untuk Sukma nanti.

"Ini peluang terbaik untuk kita menguji trek tersebut sebelum menghadapi kejohanan sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Empat atlet itu ialah pemenang pingat emas Sukma Terengganu 2008 Abdul Rahman Mohd, Mohd Aliff Zabidi, Mohd Sharuddin Abdullah dan Adib Syazwan Ismail, katanya.

Ismail berkata atlet-atlet itu baru sahaja balik daripada menyertai Kejohanan Kuda Lasak di Pattaya, Thailand akhir bulan lepas.

Mengenai Sukma Melaka pula, beliau berkata seramai enam orang atlet kuda lasak akan dipertaruhkan untuk membawa cabaran pada temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata empat daripada atlet tersebut pernah mewakili Terengganu pada Sukma 2008 manakala dua orang lagi merupakan muka baru.

Ismail berkata Terengganu mensasarkan dua pingat emas dalam acara kuda lasak, memandangkan negeri itu akan menurunkan atlet-atlet yang berpengalaman dalam sukan berkenaan.

Pada Sukma 2008, Terengganu berjaya memperoleh satu pingat emas dan satu pingat perak, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain