suria

Skuad Ragbi Belum Berani Hadapi Saingan Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Kejayaan mengungguli Kejohanan Jemputan Ragbi Tujuh Sebelah di New Delhi, semalam masih belum memberi keyakinan kepada pasukan ragbi Malaysia untuk beraksi di Sukan Asia pada November ini.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Mohd Suhaimi Zainuddin berkata pihaknya sudah menerima tawaran daripada Majlis Olimpik Malaysia(OCM) bagi menyertai temasya itu namun belum memberi pengesahan.

"OCM ada memberi tawaran pada kami untuk beraksi di Sukan Asia di Guangzhou, China tetapi MRU belum membuat keputusan lagi untuk menyertainya," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mohd Suhaimi berkata ketika ini MRU dalam usaha mendedahkan pasukan kebangsaan dengan saingan peringkat tinggi selain cuba meraih kelompok teratas dalam kejohanan yang disertai.

Malaysia semalam menjuarai Kejohanan Jemputan Ragbi Tujuh Sebelah selepas menewaskan Sri Lanka 38-5 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Delhi, India.

Mohd Suhaimi bagaimanapun berkata jika MRU mengesahkan penyertaan pada temasya di Guangzhou itu, pihaknya yakin dapat meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa selepas mengambil kira prestasi skuad kebangsaan yang semakin meningkat.

"Kami sasarkan untuk meraih pingat gangsa dan menjangka saingan sengit daripada Korea, Jepun dan Sri Lanka, katanya.

Pemain-pemain negara kini giat menjalani latihan harian di padang Jalan Utara,Petaling Jaya, katanya.

Skuad Ragbi Malaysia akan menyertai kejohanan Ragbi Asian 5 Nation (A5N) Division 2 bermula 14 hingga 17 April ini di Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain