suria

Melaka Sasar Empat Emas Acara Petanque Sukma Ke-13

MELAKA: Persatuan Petanque Negeri Melaka (PEKA)mensasarkan untuk merebut empat daripada 10 emas yang akan dipertandingkan untuk acara petanque pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-13 di negeri ini Jun depan.

Timbalan Presiden PEKA, Abdul Halim Maidin berkata PEKA mensasarkan empat emas daripada lapan acara petanque pilihannya iaitu berpasukan lelaki dan wanita, double lelaki dan wanita, shooting lelaki dan wanita, triple lelaki dan single wanita.

"PEKA telah menyenaraikan 14 atlet yang akan menyertai kesemua 10 acara petanque yang akan dipertandingkan nanti," katanya di sini, hari ini.

Temasya sukan dwitahunan itu akan bermula 10 hingga 19 Jun mempertandingkan 33 acara, bakal disertai 6,422 atlet dari 14 kontinjen.

Abdul Halim berkata pada SUKMA Ke-12 di Terengganu dua tahun lepas, pasukan petanque Melaka berjaya memperolehi satu pingat emas dari berpasukan wanita, satu perak (triple lelaki) dan dua gangsa (double dan berpasukan lelaki).

PEKA meletakkan harapan mereka kepada peserta lelaki Muhammad Faizal A Hamid (double, shooting, berpasukan), Muhamad Zaidi Zailan (single, triple, berpasukan), Muhammad Syauqi Abdul Halim (double, triple, shooting, berpasukan) dan Muhamad Faiz Abd Razak (double, triple, berpasukan).

Peserta wanita pula ialah Suharti Sera Zamri (single, shooting, triple, berpasukan), Zatul Hijanah Ayub (double, shooting, triple, berpasukan) dan Elfira Zahari (double, triple, berpasukan).

Beliau berkata tiga lagi atlet lelaki yang turut disenaraikan ialah Muhamad Hamdan Abd Wahab (single, berpasukan), Muhamad Azri Hadi Ramli (double, triple, berpasukan) dan Muhammad Izzaty Abdul Halim (single, triple, berpasukan) manakala atlet wanita ialah Siti Aishah Mohd Yatim (double, triple, berpasukan), Nurul Ain Mohd Ali (single, triple, berpasukan) dan Aisyah Fatiha Ma'alif ( double, triple, berpasukan).

Katanya pemain petanque yang berpotensi untuk mewakili Melaka telah mula dilatih pada November 2008.

Sebagai latihan, PEKA juga akan menghantar pasukannya ke Kejohanan Petanque Terbuka Kelantan pada 10 hingga 11 April ini, Piala Angkasa Peringkat Negeri Melaka (17 hingga 18 April), Pra-Sukma (24 hingga 26 April) dan Piala Angkasa Peringkat Kebangsaan (7 hingga 9 Mei) di Selangor, katanya.

Beliau berkata kejohanan itu adalah medan untuk PEKA dan atlet sendiri mencatur strategi terbaik untuk menghadapi lawan mereka kerana peserta kejohanan itu nanti adalah atlet yang mengambil bahagian pada SUKMA.

Katanya sukan petanque ialah permainan minda, maka setiap atlet petanque perlu mempunyai minda yang kuat supaya boleh merancang strategi yang terbaik untuk mengalahkan lawan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain