suria

Lotus Racing Terus Mempamerkan Peningkatan Di Litar Sepang

SEPANG: Pasukan Malaysia, Lotus Racing terus mempamerkan peningkatan apabila pelumbanya, Heikki Kovalainen akan bermula di petak ke-15 pada perlumbaan utama esok setelah tamat pusingan kelayakan di Litar Sepang hari ini.

Pelumba kelahiran Finland itu berjaya mencatat satu minit 52.270 saat pada pusingan kelayakan kedua untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 24 pelumba yang bersaing.

Pencapaian Kovalainen mara ke pusingan kelayakan kedua merupakan satu kemajuan kerana ia adalah pertama kali untuk pasukan Lotus Racing setelah mengharungi dua pusingan di Bahrain dan Australia bulan lepas.

"Mara ke pusingan kelayakan kedua benar-benar di luar jangkaan untuk saya dan seluruh pasukan, yang pasti kami bernasib baik.

"Strategi kami tepat. Jika anda lihat pada McLarens dan Ferraris, mereka tidak fikir akan hujan lebat dan lihat apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Dua pelumba Vodafone Maclaren Mercedes iaitu Jenson Button dan Lewis Hamilton akan bermula di petak ke-17 dan 20 manakala petak ke-19 dan 21 akan diisi oleh dua pelumba Scuderia Ferrari Marlboro iaitu Fernando Alonso dan Felipe Massa setelah gagal mencatat masa yang baik akibat hujan.

Pelumba berusia 29 tahun itu berkata dengan keputusan baik yang dicatat hari ini, beliau kini tidak sabar untuk turun beraksi pada perlumbaan utama esok.

Peningkatan yang dipamer oleh Kovalainen itu turut menceriakan prinsipal pasukan, Datuk Seri Tony Fernandes yang menganggapnya sebagai sesuatu yang menakjubkan.

"Saya hampir tidak dapat berkata-kata dengan pencapaian Kovalainen berada di tempat ke-15 di negara sendiri dan di hadapan penyokong tempatan," katanya.

Tony berkata perlumbaan utama yang akan berlangsung esok adalah sesuatu yang berbeza namun pencapaian hari ini adalah langkah ke hadapan pasukan Lotus Racing yang membuat penampilan pertamanya pada tahun ini.

Pencapaian cemerlang Kovalainen itu bagaimanapun gagal dituruti oleh rakan sepasukannya, Jarno Trulli yang akan bermula di petak ke-18 setelah gagal mara ke pusingan kelayakan kedua.

Catatan 1:52.884s yang dilakukan pelumba kelahiran Itali itu pada pusingan kelayakan pertama masih belum mencukupi untuk membolehkan beliau layak bersaing pada pusingan kelayakan kedua bagi mendapatkan kedudukan yang lebih baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Europa

Artikel Lain