suria

Kedah, Negeri Sembilan Ke Akhir Piala FA

KUALA LUMPUR: Kedah akan bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Pada perlawanan separuh akhir pusingan kedua malam ini, Kedah yang beraksi tanpa kehadiran pemain utamanya berjaya menumpaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman, Kedah.

Dengan kejayaan itu Kedah layak ke peringkat akhir dengan agregat 4-1. Pada perlawanan pertama separuh akhir Selasa lepas, Kedah menumpaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dalam perlawanan malam ini, pasukan tuan rumah memperoleh gol seawal minit ke-5 menerusi jaringan Khairul Helmi Johari, diikuti jaringan oleh Muhamad Shafiq Jamal pada minit ke-24.

Gol tunggal Terengganu diperoleh pada minit ke-42 menerusi jaringan Wan Mohd Aliff.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, pasukan tuan rumah tewas 0-1 kepada Selangor. Negeri Sembilan layak ke separuh akhir dengan peraturan kelebihan gol di tempat lawan selepas menumpaskan Selangor 2-1 pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Shah Alam, Selangor, Selasa lepas.

Pada perlawanan malam ini pemain Negeri Sembilan, Mohd Alif Samsudin menjaringkan gol sendiri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Europa

Artikel Lain