suria

Litar Sepang Tampil Cabaran Getir Buat Pemandu F1

SEPANG: Selepas menamatkan perlumbaan di persekitaran yang dingin dan lembap di litar Albert Park Circuit di Melbourne minggu lepas, pemandu-pemandu F1 kini sedang bersiap sedia untuk mengharungi perlumbaan dalam persekitaran yang terik di kejohanan Malaysian Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Pemandu pasukan Lotus Racing, Heikki Kovalainen berkata, beliau melihat litar Sepang itu sebagai sebuah litar teknikal yang menuntut tahap ketahanan yang tinggi di pihak pemandu.

Beliau berkata, sekiranya pemandu mendapat rentak yang diperlukan, mereka pasti akan beroleh kejayaan yang diharapkan di sini, dan menurutnya beliau memang berhajat benar untuk mengharungi cabaran di litar Sepang selepas tahap keyakinannya terhadap jentera Lotus selepas perlumbaan di Bahrain dan Melbourne bertambah tinggi.

"Sekiranya Sepang hujan pada hari perlumbaan nanti, ada kemungkinan ia akan berkisar kepada faktor strategi bagi semua pasukan. Ada pasukan akan menghadapi kesukaran, dan ada juga kereta yang tidak dapat beraksi baik. Apa sahaja boleh berlaku apabila hujan, tapi saya tidak kisah untuk berlumba dalam hujan," kata pemandu dari Finland itu ketika ditemui pada majlis pelancaran minuman tenaga LR8 di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, rakan sepasukannya dari Itali Jarno Trulli turut bersetuju bahawa Litar Sepang adalah antara litar yang cukup sukar dalam kalendar perlumbaan F1.

"Sepang pastinya perlumbaan yang sukar. Suasana yang membahang menjadikan keadaan kurang selesa buat semua. Mungkin dengan pengalaman, saya mempunyai sedikit kelebihan berbanding pemandu lain.

"Saya sendiri suka dengan litar Sepang. Menampilkan persembahan yang baik merupakan satu cabaran besar kerana ia ia banyak bergantung kepada brek dan tayar. Agak menarik untuk melihat bagaimana kereta ini akan beraksi nanti. Saya akan lakukan yang terbaik dan tengoklah nanti apa yang akan berlaku," katanya.

Bagi Jenson Button dari pasukan Vodafone McLaren Mercedes yang memenangi gelaran juara dalam perlumbaan di Malaysia semasa masalah hujan memberi kesan kepada perlumbaan tahun lepas itu, Sepang sememangnya litar yang menarik.

"Ia bukan sahaja litar yang memerlukan input lancar dan tepat, malah ia juga memerlukan komitmen sebenar dalam pergerakan yang amat pantas, saya rasa ia adalah sebuah litar yang disukai ramai pemandu," kata pemandu yang menjuarai kejohanan Australian Grand Prix sebelum ini dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pasukan berkenaan hari ini.

Bagi juara dunia tujuh kali champion Michael Schumacher dari pasukan Mercedes GP Petronas F1 Team pula litar Sepang kekal menjadi tempat perlumbaan yang menarik buatnya.

"Saya sudah berluma di litar ini banyak kali dan melalui segala kelebihan dan kesukaran yang ditampilkannya, kena tunggu saja apa yang bakal berlaku hujung minggu ini," katanya.

Untuk rekod Schumacher memenangi perlumbaan Malaysian Grand Prix pada tahun 2000, 2001 dan 2004.

Sementara itu rakan sepasukan Schumacher, Nico Rosberg berkata, litar Sepang adalah litar pilihannya kerana variasi yang ditampilkannya.

"Litar ini menampilkan laluan yang menarik untuk memandu. Ada beberapa kombinasi perbezaan selekoh dan amat mencabar. Ia akan menjadi sukar bagi pemandu disebabkan bahang. Ia adalah satu daripada perlumbaan paling mencabar bagi tahap ketahanan pemandu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain