suria

Kedah Temui Rentak, Tidak Lagi Gusar Bermain Di Gelanggang Sendiri

ALOR SETAR: Kedah yakin telah menemui rentak menjelang perlawanan kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini namun tidak mahu menjadikan kemenangan 2-0 menewaskan Terengganu sebagai tiket untuk berasa selesa.

Pengurus pasukan Datuk Khazali Din berharap pemain dapat mengekalkan rentak lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri yang tidak memihak kepada Kedah dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini.

"Kemenangan 2-0 Selasa lepas melonjak semangat pemain dan kini mereka meletakkan sasaran untuk bermain dalam perlawanan akhir.

"Keyakinan mereka adalah satu bonus yang memberi tekanan kepada lawan yang pasti tidak kerugian apa-apa jika mereka bermain habis-habisan," kata Khazali kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya beliau telah berbincang dengan jurulatih serta pemain mengenai strategi untuk menghadapi Terengganu agar mereka tidak mengulangi kesilapan di gelanggang sendiri.

Ketua jurulatih Ahmad Yusof berkata beliau telah mengingatkan pemain supaya tidak memandang ringan kemampuan Terengganu untuk bangkit semula Sabtu ini.

"Perlawanan ini tidak mudah lebih-lebih lagi Kedah menghadapi masalah kecederaan pemain tengah Shahrulnizam Mustapha manakala pertahanan kebangsaan Mohd Sabre Abu digantung satu perlawanan," katanya.

Kedudukan penjaring terbanyak Azlan Ismail belum pasti kerana dia perlu menghadap Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini kerana kad merah yang diterimnya semasa Kedah menentang Angkatan Tentera 9 Mac lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain