suria

Lotus Racing Sasar Beri Persembahan Terbaik Di Sepang

KUALA LUMPUR: Pasukan Formula One (F1) Malaysia, Lotus Racing Team, sudah bersedia memberi persembahan terbaik di hadapan peminat tempatan apabila pasukan itu beraksi buat pertama kali di Litar Sepang hujung minggu ini.

Grand Prix Malaysia, pusingan peringkat ketiga daripada 19 perlumbaan dalam kalendar Kejohanan Grand Prix F1 Dunia akan diadakan dari 2 hingga 4 April ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Upacara sambutan kepulangan pasukan Lotus Racing Team berlangsung di Pusat Membeli-Belah Pavilion di sini hari ini dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga digelar Bapa Sukan Pemotoran Malaysia.

Pada majlis sambutan kepulangan itu, selain warga Malaysia, peminat sukan F1 luar negara juga berpeluang melihat secara dekat pemandu pasukan Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy.

"Kami menjangkakan perlumbaan di Sepang juga merupakan satu lagi perlumbaan yang menarik untuk Lotus Racing. Heikki (Kovalainen) hanya ketinggalan tiga petak bagi membolehkan kami mengutip mata pertama.

"Ia tentunya memberikan kami semangat untuk memulakan perlumbaan di Sepang," kata timbalan teraju utama pasukan SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam ucapannya pada majlis sambutan kepulangan itu.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi SIC Sdn Bhd, Datuk Mokhzani Tun Mahathir, Dr Mahathir diberi penghormatan untuk melekatkan Jalur Gemilang pada kereta Lotus Cosworth T127.

Dan buat pertama kalinya pelekat Jalur Gemilang diletakkan di belakang kokpit pemandu. Ia akan kekal di situ sehingga selesai perlumbaan F1 2010.

Kereta Lotus Cosworth T127 dengan warna hijau dan kuning yang diperkenalkan pada musim ini, dipamerkan di ruang legar utama hingga 10 malam ini sebelum dibawa ke SIC.

Barangan kenangan pasukan akan mula dijual buat julung kalinya dan Kelab Peminat Lotus Racing edisi tempatan juga dilancarkan.

Sementara itu, Kovalainen dari Finland berkata, ia merupakan satu perlumbaan yang hebat sekiranya pasukan itu berjaya mengutip mata pertama di Malaysia dengan sokongan peminat tanah air.

"Buat masa ini, kami harus memberi tumpuan kepada perlumbaan, terutama ketika sesi latihan bagi memastikan kereta dalam keadaan baik.

"Kami akan memperbaiki kedudukan berbanding perlumbaan sebelum ini dan akan cuba memperolehi keputusan maksimum," katanya.

Pada Grand Prix Australia Ahad lepas, Kovalainen menduduki tangga ke-13, hanya ketinggalan tiga petak untuk mendapatkan mata pertama pasukan itu, manakala rakan sepasukannya gagal memulakan perlumbaan berikutan masalah hidraulik.

Di Grand Prix Bahrain pada 14 Mac, beliau menduduki tangga ke-15 manakala Trulli mendapat tempat ke-17. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain