Kedah, Negeri Sembilan Buat Kejutan - Sukan | mStar

Kedah, Negeri Sembilan Buat Kejutan

KUALA LUMPUR: Pasukan bukan pilihan Kedah dan Negeri Sembilan membuat kejutan apabila masing-masing mencipta kemenangan pada pertemuan pertama, suku akhir yang berlangsung malam semalam.

Pasukan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.

Kegembiraan Selangor memperolehi gol pertama menerusi tendangan Mohd Safee Sali pada minit ke-41 tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bangkit menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.

Ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ternyata tidak kecewakan pasukanya apabila menjaring gol pertama pada minit ke-70.

Seminit selepas gol pertama, S.Kunanlan menjaringkan gol kemenangan bagi pasukan Negeri Sembilan.

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.

Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini melibatkan pertemuan kedua antara Negeri Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Manakala pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain