suria

Terengganu Hadapi Tugas Berat Separuh Akhir Piala FA

KUALA TERENGGANU: Terengganu yang menjadi tuan rumah pada peringkat separuh akhir pusingan pertama Piala FA menentang Kedah, Selasa ini, bakal berhadapan tugas sukar mencari bekalan ke pusingan kedua nanti.

Pengurus pasukan Terengganu Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata Terengganu kehilangan tunggak utama yang juga ketua pasukan, Marzuki Yusof yang terpaksa berehat kerana dua kad kuning, dan terpaksa menggunakan khidmat pemain simpanan untuk menggalas posisi yang dikosongkan Marzuki itu.

"Siapa sahaja yang bakal diturunkan nanti, kita harap beliau akan memberikan persembahan terbaik dan menggalas tugas dengan penuh dedikasi," katanya.

Sheikh Tajuddin, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), berkata Terengganu yang turut dibarisi bekas pemain Kedah Mohd Firdaus Mohd Fauzi dan bekas pemain Sarawak Joseph Kallang, selain pemain kebangsaan Manaf Mamat di barisan penyerang, mempunyai jentera serangan mantap dan mampu menggempur kubu lawan pada pertemuan itu nanti.

Walaupun perlawanan ini merupakan perlawanan pertama di antara Terengganu dan Kedah tahun ini, namun skuad Penyu itu yakin mampu memberikan saingan yang sengit, katanya.

Terengganu pernah menjuarai Piala FA pada 2000 dan memasuki pertandingan akhir pada 1999 dan 2004.

Sheikh Tajuddin berharap peminat-peminat yang datang menyaksikan perlawanan itu menunjukkan sikap kesukanan yang tinggi dan terpuji. -BERNAMA

Artikel Lain