suria

Piala Thomas Bukan Misi Chong Wei Seorang

KUALA LUMPUR: Misi menjulang Piala Thomas tidak sepatutnya dibebankan kepada pemain perseorangan utama badminton negara Datuk Lee Chong Wei semata-mata, kata jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek.

Beliau berkata sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pelbagai pihak, termasuk jurulatih-jurulatih pasukan negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya Piala Thomas dan Piala Uber merupakan kejohanan berpasukan, oleh itu semua pemain perlu melaksanakan peranan masing-masing dalam menyumbangkan mata kepada pasukan negara.

"Dalam kejohanan berpasukan, nombor satu (perseorangan) akan lawan nombor satu, nombor dua lawan nombor dua, 'beregu pertama' akan lawan 'beregu pertama', jadi semua pemain perlu main peranan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Misbun mengakui Lee, pemain perseorangan nombor satu dunia dan Juara Seluruh England, kini merupakan tonggak pasukan negara dan menjadi pembakar semangat kepada pemain lain.

"Setiap negara biasanya mempunyai seorang tonggak. Contohnya Lin Dan untuk China, Peter Gade untuk Denmark dan Boonsak Ponsana di Thailand.

"Tonggak negara sekarang adalah Chong Wei dan tonggak ini perlu dijaga. Jika tiada tonggak tiadalah perhatian khas kepada pasukan negara," katanya.

Mengenai persediaan pasukan negara menjelang Piala Thomas dan Piala Uber pada 9 hingga 16 Mei ini, Misbun berkata persiapan melibatkan program latihan tersusun untuk para pemain dan dijalankan sepanjang tahun.

"Kami siapkan 'player all-year round'. Untuk Piala Thomas-Uber kami akan gabung pemain-pemain yang terpilih dan berlatih bersama," kata beliau yang turut berpuas hati dengan persiapan pasukan negara setakat ini. -BERNAMA

Artikel Lain